Selasa, 28 Mac 2017

Tiga mata Sabah di Likas

ARKIB : 22/02/2003
SKUAD Badak yang seri dengan Sarawak dalam perlawanan Liga Perdana Satu minggu lalu kini bersedia melayani rentak Kelantan dalam perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.

Biarpun menyedari pasukan pelawat akan bermain bermati-matian demi mencipta kemenangan sulung, Sabah tidak rela berputih mata di gelanggang sendiri.

Jurulatih skuad Badak, Justin Ganai berkata, anak-anak buahnya sudah bersiap sedia untuk mempamerkan aksi hebat bagi memastikan tiga mata penuh dalam genggaman.

Katanya, mencipta kemenangan awal bagi Sabah amat penting lebih-lebih lagi beraksi di hadapan para penyokong yang sudah pasti mahu menyaksikan kemenangan selain persembahan bertenaga.

``Selepas berehat beberapa bulan dan juga muncul naib juara Piala Malaysia 2002 saya rasa penyokong akan turun beramai-ramai malam esok (hari ini) dan para pemain sudah tentu tidak mahu menghampakan mereka,'' katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.

Ganai berkata, para pemain juga telah diingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan semasa menentang skuad Bujang Senang.

Katanya, dalam perlawanan itu Sabah seolah-olah `terkejut' dengan jaringan awal pada minit ketujuh separuh masa pertama oleh Ramos Sari menyebabkan mereka kehilangan rentak.

Ia ditambah pula dengan jaringan kedua oleh Robert Eshun pada masa Sabah sedang mencari gol penyamaan bagaimanapun keadaan dapat dipulihkan dalam separuh masa kedua selepas diberi perangsang oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SaFA), Datuk Anifah Aman.

``Saya telah menasihatkan para pemain supaya bermain berhati-hati dan menumpukan perhatian dari awal permainan,'' tambah Ganai.

Mengenai barisan kesebelasan utama pada perlawanan hari ini, Ganai berkata, beliau hampir pasti akan mengekalkan semua pemain yang beraksi sewaktu menentang Sarawak dengan meletakkan Zainizam Marjan dan Josiah Seton di bahagian serangan.

``Walaupun ada beberapa pemain yang cedera, kita akan turunkan barisan yang terbaik malam esok (hari ini),'' jelasnya.

Sementara itu, penjaga gol Sabah, Khairul Azman Mohamad yang melepaskan tiga gol dalam perlawanan dengan Sarawak berjanji akan sedaya-upaya mempertahankan gawang daripada ditembusi oleh pasukan Kelantan.

Katanya, walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pada lutut kanan beliau dan pemain yang lain menjanjikan persembahan terbaik dalam perlawanan hari ini.

``Kita tidak mahu menghampakan para penyokong dan berharap mereka akan datang beramai-ramai untuk memberi sokongan di Stadium Likas,'' jelasnya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cciLX98H
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan