Sabtu, 25 Mac 2017

Sabah buat Perak sebak



ARKIB : 27/10/2002
ZAINIZAM MARJAN (kiri) menyepak bola melepasi kawalan penjaga gol Perak, Tay Sin Kiat untuk gol pertama sementara pemain pertahanan, Josco Farac hanya mampu melihat pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Ipoh semalam. Sabah menang 2-1. - Gambar NAZUDEEN MAHMUD.

Oleh BORHAN ABU SAMAH
SABAH mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan penuh bergaya apabila menewaskan pasukan pilihan, Perak 2-1 pada separuh akhir kedua di Stadium Perak, Ipoh semalam untuk menjadikan agregat 4-3.

Sabah akan bertemu juara 28 kali, Selangor pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu depan.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu pada perlawanan akhir 1996 yang menyaksikan Selangor muncul juara menerusi penentuan tendangan penalti 5-3 selepas terikat 1-1 dalam permainan masa tambahan.

Kedua-dua gol Sabah dijaringkan oleh Zainizam Marjan manakala tuan rumah memperoleh jaringan menerusi Khalid Jamlus.

Perak juga memperoleh sepakan penalti tetapi gagal disempurnakan oleh pemain importnya, Josco Farac.

Juara Perdana Satu itu turun dengan penuh keyakinan setelah berjaya bangkit untuk mengikat pasukan pelawat 2-2 pada separuh akhir Selasa lepas.

Gandingan dua pemain kebangsaan, Khalid dan Indra Putra Mahayuddin sering dibantu oleh Chan Wing Hoong yang sering naik ke atas ketika mengasak benteng Sabah.

Namun, pertahanan Sabah begitu ampuh walaupun beraksi di gelanggang lawan dan mengejutkan tuan rumah dengan jaringan awal pada minit kelapan oleh Zainizam.

Gol berpunca daripada Josiah Seton yang membuat larian untuk membolosi benteng Perak sebelum disekat oleh penjaga gol Perak, Tay Sin Kiat, tetapi Zainizam pantas menyusul untuk melepaskan rembatan kencang.

Perak yang mahu melebarkan rekod kepada 18 kali beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan.

Bagaimanapun segalanya seperti tidak menjadi buat tuan rumah kerana ayam tambatan mereka, Khalid dirantai kemas oleh `orang besi' Sabah, Julius Ating.

Keadaan itu bukan sahaja menyukarkan pemain Perak untuk melepasi benteng Sabah bahkan amat payah untuk membuat percubaan.

Di dalam keghairahan Perak menyerang, Sabah pantas membuat serangan balas dan pada minit ke-28 Zainizam sekali lagi menjaringkan gol apabila bola rembatannya gagal ditangkap kemas oleh Sin Kiat dan terus menerobos ke gawang Perak.

Mimpi ngeri buat Perak berterusan apabila Khairul Azman Mohamad menyelamatkan sepakan penalti oleh pemain pertahanan, Farac pada minit ke-31 setelah Burhan Ajui mengkasari Indra Putra.

Pada minit ke-83 Khalid menjaring gol selepas berjaya mengelecek tiga pemain pertahanan Sabah tetapi sudah terlewat.

Bagaimanapun, jaringan itu sudah terlalu lewat untuk mengubah nasib Perak yang terpaksa akur bahawa Piala Malaysia terlepas daripada jangkauan mereka pada kali ini.

PERAK - Tay Sin Kiat, Chan Kok Heng, Josco Farac, Syamsul Saad, Faizal Zainal (R. Surendran), Ahmad Shahrul Azhar, Chan Wing Hoong, K. Nanthakumar, M. Nagaraja (V. Saravanan), Indra Putra Mahyuddin, Khalid Jamlus.

SABAH - Khairul Azman Mohamad, Reithaudin Emran, Jelius Ating, Burhan Ajui (Madzalan Emui), L. Suresh, Sharin Majid, Shahril Arsat, K. Sanbagamaran, Asmawi Bakiri, Zainizam Marjan, Josiah Seton.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cOBhPs63
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan