Sabtu, 25 Mac 2017

Sabah tidak boleh lepaskan peluang



ARKIB : 24/10/2002
SABAH kini perlu melakukan yang terbaik untuk memastikan tidak terlepas peluang keemasan melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia apabila bertandang ke Stadium Ipoh, Perak, Sabtu ini lapor MOHD. RADZI MOHD. ZIN.

Walaupun mengakui skuad Badak kesuntukan masa untuk merancang strategi berhadapan dengan naib juara musim lalu, jurulatih Justin Ganai tetap yakin Sabah masih berpeluang beraksi di peringkat akhir jika pemain mengulangi aksi cemerlang seperti yang dipamerkan di Stadium Likas, kelmarin.

``Kita mempunyai sekurang-kurangnya empat peluang terbaik untuk menjaring gol dalam perlawanan pusingan pertama separuh akhir kelmarin, tetapi nasib tidak menyebelahi kita,'' katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.

Sabah yang seri 2-2 dengan skuad Seladang di gelanggang sendiri bakal menghadapi tugas berat apabila bermain di gelanggang lawan Sabtu ini.

Justin berkata, anak-anak buahnya mesti bermain dengan lebih baik di Perak kerana tekanan pastinya dirasai oleh pasukan tuan rumah yang beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri.

Katanya, apa yang perlu ialah bermain dengan berhati-hati dan mengelak melakukan kesilapan kerana skuad Seladang adalah pasukan yang disegani kerana memiliki kekuatan yang seimbang di semua segi.

``Saya telah mengingatkan pemain supaya tidak menggunakan strategi menyerang habis-habisan sebagaimana yang dilakukan kelmarin sebaliknya menggunakan kesempatan terbaik yang diperolehi untuk menjaringkan gol,'' jelasnya.

Justin juga mahu anak-anak buahnya melupakan perlawanan malam kelmarin sebaliknya menumpukan kepada aksi 90 minit dalam saingan pusingan kedua.

Untuk itu, katanya, pasukan Sabah terus berlatih hari ini untuk membaiki beberapa kelemahan bagi memastikan dapat menewaskan Perak.

``Kita hanya perlukan satu gol untuk ke perlawanan akhir dan saya yakin jika semua pemain menunjukkan komitmen dan bertekad untuk menang, kita akan berjaya,'' tambahnya.

Beliau juga tidak mahu menyalahkan 100 peratus kesalahan kepada pengadil perlawanan, Manjit Singh Balbir Singh ekoran keputusan seri kelmarin.

``Bagaimanapun, saya berharap pengadil perlawanan akan datang tidak membuat sebarang tindakan atau keputusan yang meragukan mana-mana pihak,'' jelasnya.

Yang pasti, Skuad Badak akan mempertaruhkan gandingan Suharmin Yusof, penyerang Zainizam Marjan dan `Pahlawan Zulu' Josiah Seton untuk membolosi gawang Perak seawal mungkin.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1024&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cO2ATGgV© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan