ARKIB : 24/08/2005
Oleh Halimah Julkip
MURAM... Mohd. Arsyah Ayob,
seorang daripada lima pemain Sabah yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan
salah laku dan disiplin, ditamatkan kontrak serta merta selepas mengadap
Lembaga Disiplin SAFA di Kota Kinabalu, semalam.
KOTA KINABALU - Disiplin
Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) semalam memutuskan menamatkan kontrak lima
pemain Sabah yang di `tangkap' di sebuah pusat hiburan di sini, minggu lalu.
Selain itu, Lembaga Disiplin
juga mengenakan pergantungan bermain terhadap lima pemain terbabit dalam
mana-mana perlawanan selama setahun.
Kelima-lima mereka, Mohd Arsyah
Ayob, Mohd Rizal Hassan, Mior Mohd Nasir, K Nanthakumar dan Mohd Zalmie Jamlus
ditamatkan kontrak serta merta selepas gagal memberi alasan kukuh atas
kesalahan yang dilakukan.
Mereka dipanggil untuk memberi
keterangan dan tunjuk sebab di hadapan Lembaga Disiplin pada mesyuarat SAFA
yang diadakan pejabat SAFA di Kota Kinabalu, petang semalam.
Keputusan mengenai hukuman itu
diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin SAFA yang juga merangkap Timbalan
Pesuruhjaya Polis Sabah, Senior Asisten Komisioner I, Mohd. Bakri Zinin sebaik
sahaja mesyuarat itu selesai.
Menurut Bakri, hasil soal jawab
dan siasatan sepanjang sesi representasi itu, kelima-lima pemain berkenaan
didapati bersalah atas tiga pertuduhan salah laku dan disiplin.
Katanya, pertuduhan pertama
mereka ialah berada di sebuah pusat hiburan di Jalan Lintas, Kota Kinabalu pada
pukul 3 pagi, 19 Ogos lalu - iaitu pada hari yang sama sebelum mereka
sepatutnya bertolak ke Kangar untuk perlawanan Liga Malaysia menentang Perlis.
Kelima-lima mereka menghadapi
pertuduhan kedua iaitu gagal menjaga kepentingan pasukan dan perlawanan
menentang Perlis di mana mereka sepatutnya dikehendaki berada di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada pukul 6 pagi 19 Ogos lalu, sejam
sebelum penerbangan.
Sementara itu, bagi pertuduhan
ketiga, kelima-lima mereka disahkan mengambil alkohol melalui ujian pernafasan
yang dibuat oleh polis trafik pada pukul 4 pagi, 19 Ogos lalu.
``Mesyuarat Lembaga Disiplin
hari ini telah memanggil seorang demi seorang pemain terbabit dan kesemua
mereka didapati memberi keterangan yang bercanggah,'' kata Bakri.
Mesyuarat itu turut dihadiri
oleh Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin SAFA, Iskandar Malik dan tiga ahli
jawatankuasa lain.
Bagaimanapun, menurut Bakri,
kelima-lima pemain terbabit diberi peluang membuat rayuan dalam tempoh tujuh
hari selepas hukuman dikenakan dan keputusan terakhir akan ditentukan sendiri
oleh Presiden Sabah FA, Datuk Anifah Aman. Beliau berkata, pihaknya akan
menghantar satu laporan lengkap kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi
menjelaskan pengguguran kelima-lima pemain itu.
Tambah beliau, ini kerana
beberapa orang dari pemain terbabit turut bermain dalam skuad kebangsaan.
``Kita harap hukuman yang
dijatuhkan menjadi ikhtibar kepada mereka dan pemain-pemain lain, ini
menunjukkan SAFA tidak akan teragak-agak menggugurkan mana-mana pemain yang
tidak berdisiplin,'' jelasnya.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4itDzWtKr
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan