ARKIB : 23/10/2002
NAIB juara musim lalu, Perak
mencerahkan peluang untuk mengulangi kemaraan ke perlawanan akhir bola sepak
Piala Malaysia musim ini, apabila mengikat Sabah 2-2 dalam saingan separuh akhir
pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam.
Jelas tugas berat menanti Sabah
apabila bertandang ke Stadium Perak di Ipoh Sabtu ini kerana perlu mengharungi
kekentalan Perak di gelanggang sendiri, selain melawan sorakan padu penyokong
tuan rumah.
Dalam perlawanan yang mendebarkan
di hadapan kira-kira 10,000 penyokong di Likas, Sabah gagal memanfaatkan
kelebihan mendahului 2-0 dalam 40 minit pertama perlawanan.
Jaringan pembukaan Sabah hadir
pada minit ke 17 apabila K. Sanbagamaran yang mendapat bola lambungan Asmawi
Bakiri merembat kencang menewaskan penjaga gol Perak, Tay Sin Kiat.
Tuan rumah yang memerlukan
kemenangan selesa menunjukkan permainan pantas sejurus wisel permulaan dengan
membuat serangan-serangan cantik hasil gandingan Asmawi, Zainizam Marjan dan
Josiah Seton.
Pasukan pelawat yang kelihatan
agak kekok beraksi di Stadium Likas terpaksa bertahan dalam 15 minit pertama
sebelum dapat mengembalikan semula rentak permainan.
Stadium Likas sekali lagi
bergegar dengan sorakan penyokong tuan rumah apabila penyerang import dari
Liberia, Josiah Seton menambah jaringan untuk pasukannya dan meletakkan Sabah
di depan 2-0 pada minit ke-39.
Jaringan itu adalah hasil gerakan
dari sebelah kiri pintu gol Perak apabila Shahrin Majid menanduk bola kepada
Seton yang merembat kencang dengan kaki kiri ke sebelah kanan pintu gol untuk
menewaskan Sin Kiat.
Jaringan kedua itu seolah-olah
memberi semangat kepada para pemain Sabah yang memaksa barisan pertahanan Perak
bekerja keras untuk mengelak daripada terus dibolosi.
Bagaimanapun pada minit ke 41,
penyerang Perak, Khalid Jamlus dijatuhkan oleh pemain pertahanan Sabah,
Reithaudin Emran di dalam kotak penalti menyebabkan pengadil perlawanan, Manjit
Singh Balbir Singh memberikan sepakan penalti.
Sepakan itu disempurnakan dengan
baik oleh pemain pertahanan import Perak, Josco Farac sekali gus merapatkan
jarak yang ditinggalkan oleh tuan rumah.
Kehebatan perlawanan pusingan pertama
separuh akhir itu bagaimanapun dicacatkan oleh mutu pengadilan yang disifatkan
lemah oleh pengurus pasukan Sabah, Datuk Majin Ajing.
Majin yang dikatakan tidak
berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil tersebut meluru ke arah Manjit
untuk membuat bantahan sejurus perlawanan separuh masa pertama berakhir.
Kegembiraan Sabah bagaimanapun
tidak kekal lama apabila ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar menghukum
kelekaan di barisan pertahanan Sabah pada babak kedua dengan gol penyamaan
hasil sepakan yang mengelirukan Khairul Azman Mohamad pada minit ke-75.
Gol penyamaan itu adalah hasil
hantaran kemas Khalid yang melorongkan bola kepada Shahrul yang tenang membuat
sepakan ke sebelah kanan pintu gol skuad Badak.
Pujian harus diberi kepada Sin Kiat
yang mempamerkan aksi cemerlang sehingga berjaya menggagalkan
sekurang-kurangnya empat cubaan bahaya pasukan tuan rumah.
Sabah yang dikejutkan dengan gol
penyamaan itu kembali mengatur rentak dalam usaha menambah jaringan
bagaimanapun gagal untuk mengubah kedudukan sehinggalah ke wisel penamat.
SABAH:
Khairul Azman Mohamad, Jelius
Ating, Asmawi Bakiri, Reithaudin Emran, Shahrin Abdul Majid, Suharmin Yusof,
Zainizam Marjan, L. Suresh, K. Sanbagamaran, Josiah Seton, Madzalan Emoi
(Burhan Ajui).
PERAK:
Tay Sin Kiat, Chan Kok Heng,
Faizal Zainal, Ahmad Shahrul Azhar, Chan Wing Hoong, M. Nagaraja, Indra Putra
Mahayuddin, Rushanizam Mohd Idrus, K. Nantha Kumar, Josco Farac, M. Khalid
Jamlus.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1023&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cO0ZhWpk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan