ARKIB : 13/05/2001
DUA gol daripada pemain
gantian, Shahrin Majid membantu Sabah menewaskan saingan terdekatnya, NS
Chempaka 3-2 bola sepak Perdana Dua di Stadium Penampang, Kota Kinabalu,
semalam.
Shahrin yang dimasukkan pada
babak kedua menanduk masuk gol pertamanya pada minit ke-53 dan kemudian
menyempurnakan sepakan percuma pada minit-minit terakhir permainan untuk
memastikan tiga mata dimiliki tuan rumah.
Terdahulu, Sabah membuka jaringan
menerusi Rizal Sukiman pada minit ke-16 tetapi seminit kemudian penyerang
pasukan pelawat yang berasal dari Sabah, Julaidi Jalumin menyamakan kedudukan.
R. Balan meletakkan NS Chempaka
di depan dengan 2-1 pada minit ke-28 untuk memaksa jurulatih Sabah, Ken Worden
menukar strategi dengan memasukkan Shahrin, yang nyata berhasil.
Kemenangan itu
sekurang-kurangnya memberi ke atas Johor FC, pasukan yang menduduki tempat
teratas Perdana dua dengan 25 mata, empat mata di depan Sabah.
NS Chempaka pula masih kekal di
tangga keempat dengan 12 mata, ketinggalan satu mata di belakang pasukan
ketiga, JKR Kelantan yang kalah 3-2 kepada Telekom Melaka kelmarin.
Sabah mesti memenangi baki dua
perlawanan sambil mengharapkan bencana berlaku ke atas Johor FC bagi memastikannya
muncul juara pusingan pertama liga untuk meraih hadiah lumayan yang disediakan.
Sementara itu, kemenangan Johor
FC ke atas Tentera kelmarin membuktikan bahawa pasukan itu sememangnya berhak
untuk berada di tangga teratas.
Meskipun kehilangan penjaga gol
utama, G. Jeevananthan dan persembahan beberapa pemainnya agak kurang bermaya
akhir-akhir ini, Johor FC masih berupaya melakarkan kemenangan.
Jeevananthan, 20, terpaksa
berehat akibat sakit usus dan mungkin tidak akan beraksi selama tiga bulan.
Sebagai pengganti, jurulatih
Johor FC, Azuan Zain menggunakan khidmat bekas penjaga gol Pahang dan
kebangsaan, Zuraimi Hassan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bb4a0yKO
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan