Sabtu, 25 Mac 2017

Aksi jentera pemusnah terjejas

ARKIB : 31/10/2002
Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
SKUAD Badak yang memburu kejuaraan sulung dalam sejarah bola sepak Piala Malaysia dilanda keresahan apabila dua penyerangnya, Zainizam Marjan dan Josiah Seton masih dibelenggu kecederaan menjelang perlawanan yang akan berlangsung Sabtu ini.

Keadaan itu sekali gus menyukarkan jurulatih, Justin Ganai mencongak jentera pemusnah skuad Negeri di Bawah Bayu itu bagi menghadapi gergasi Merah Kuning, di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kepincangan itu bertambah parah apabila Burhan Ajui, pemain pertahanan yang menggalas tugas berat `orang besi' Jelius Ating turut dihantui kecederaan lama sekali gus menjejaskan peluang beraksi selama 90 minit dalam perlawanan akhir nanti. Jelius bersama dua lagi pemain tengah yang merupakan bekas pemain Selangor, K. Sanbagamaran dan Shahrin Majid tidak dapat beraksi pada perlawanan tersebut akibat dilayangkan kad kuning kedua sewaktu menentang Perak di Ipoh, Sabtu lalu.

``Inilah yang merisaukan saya kerana kita menghadapi perlawanan akhir dan seboleh-bolehnya kita mahu menurunkan kesebelasan yang terbaik menentang Selangor.

``Kita masih mempunyai dua sesi latihan sebelum berangkat ke Kuala Lumpur malam Khamis ini dan saya berharap ketiga-tiga pemain itu akan pulih menjelang perlawanan akhir nanti,'' kata Justin kepada Utusan Malaysia di Kota Kinabalu, semalam.

Sebagai persiapan awal, Sabah mengadakan perlawanan persahabatan di Stadium Likas, malam kelmarin yang menyaksikan pasukan itu menang dengan 6-2.

Bagaimanapun, Justin masih tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya yang tidak serius semasa berada di padang.

Katanya, tanggapan berhadapan dengan pasukan yang tidak begitu kuat menyebabkan para pemain bermain sambil lewa kerana beranggapan akan beroleh kemenangan mudah.

``Saya telah memberi amaran kalau main seperti itu (malam kelmarin) Sabah akan menghadapi laluan yang sangat sukar ketika menentang Selangor,'' tegasnya.

Justin berkata, beliau memerlukan sedikit masa lagi sebelum boleh menetapkan kesebelasan utama skuad Badak untuk berhadapan dengan juara Piala Malaysia sebanyak 28 kali itu.

Katanya, ketiga-tiga pemain itu hanya menjalani latihan ringan dan masih belum dapat diturunkan sepenuhnya dalam sesi latihan yang dijalankan setakat ini.

Bagi mengurangkan tekanan yang bakal dihadapi, skuad Badak turut mengikuti kursus motivasi semalam untuk membina semangat yang lebih kental menjelang perlawanan akhir kelak.

Mengenai imbuhan yang dijanjikan oleh kerajaan negeri sebagaimana diumumkan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Musa Aman kelmarin, Justin berkata, berita itu pastinya akan menyuntik semangat di kalangan pemain-pemain Sabah untuk bermain bersungguh-sungguh.

``Walaupun tidak dinyatakan jumlah atau bentuk ganjaran yang akan diberi tetapi ini akan menjadi hadiah terbaik kepada Sabah jika menjulang Piala Malaysia,'' tambahnya.

Mengulas hasrat penjaga gol, Khairul Azman Mohamed untuk bersara selepas Piala Malaysia 2002, Justin berkata, beliau percaya Khairul masih boleh beraksi sekurang-kurangnya dua tahun lagi dalam arena bola sepak negara.

``Saya masih menganggap beliau penjaga gol terbaik negara dan patut meneruskan kariernya untuk dua atau tiga tahun lagi sebelum bersara,'' tambahnya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Majin Ajing berkata dua buah pesawat telah disewa khas untuk menerbangkan para penyokong Sabah ke Kuala Lumpur.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cOVg3yak
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan