Selasa, 21 Mac 2017

Amukan Badak di Penampang



ARKIB : 24/03/2002
SKUAD Badak menemui semula sentuhan mereka apabila beraksi cemerlang membenam Johor FC dengan 2-1 di Stadium Penampang, Kota Kinabalu, semalam.

Kemenangan itu sekali gus mengubat luka pasukan Sabah yang sebelum ini tewas dua kali berturut-turut di gelanggang lawan iaitu 0-2 kepada Melaka dan 1-4 kepada Pahang.

Penyerang Zainizam Marjan muncul sebagai wira apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-33 dan 37 bagi memastikan skuad Badak mengutip tiga mata.

Bagaimanapun, Johor FC membuka tirai jaringan melalui penyerang import, Jon Angelucci pada minit ke-31.

Gol pertama Sabah diperoleh hasil sepakan bebas oleh Shahrin Majid dari luar kotak penalti lawan yang ditanduk kencang oleh Zainizam untuk menewaskan G. Jeevanathan.

Jaringan penyamaan itu sedikit sebanyak melegakan lebih 4,000 penyokong tuan rumah yang membanjiri stadium bagi menyaksikan perlawanan yang disifatkan sebagai penting bagi Sabah.

Asakan itu akhirnya mendatangkan hasil apabila Zainizam sekali lagi berjaya membolosi gawang lawan hasil sepakan dari penjuru kanan Johor FC. Sepakan penjuru oleh Shahrin ditanduk dengan kemas oleh Zainizam untuk meletakkan Sabah di depan pada minit ke-37.

Perlawanan bagaimanapun sedikit tercemar apabila Shahrin dan penyerang Johor FC, Eddy Helmi Abd. Manan Azmi dilayangkan kad merah pada minit ke 61 kerana terlibat dalam kekasaran.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4byK9wK5o© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan