ARKIB : 18/11/1998
SABAH tentu mempunyai banyak
kelebihan beraksi dengan baik ketika melayani Terengganu di depan penonton
sendiri pada separuh akhir pertama bola sepak Piala Malaysia, Sabtu ini.
Namun ia tidak sekali-kali
menjejaskan semangat skuad penyu meskipun mereka yang terpaksa menyeberangi
Laut China Selatan untuk memburu impian beraksi pada perlawanan akhir di Bukit
Jalil, nanti.
Skuad Penyu yang akan
menurunkan kesemua pemain utama kecuali Sapian Wahid yang masih cedera, pasti
akan menggegarkan Stadium Likas untuk memenuhi matlamat kedua mereka - menempah
tempat ke perlawanan akhir sesudah impian pertama mereka dipenuhi.
Apa yang penting, beberapa
kelemahan lalu sehingga memaksa pasukan bimbingan jurulatih, Abdul Rahman
Ibrahim itu menerima padah kesan kekalahan perlu diperbaiki segera.
Kelemahan itu jelas ketara
sewaktu perlawanan terakhir kumpulan apabila Terengganu tewas 0-2 kepada Negeri
Sembilan di gelanggang sendiri.
Suntikan semangat baru yang
menjadi, terutama kejayaan Terengganu memasuki peringkat separuh akhir Piala
Malaysia sudah tentu menyaksikan corak aksi menarik dan permainan yang lebih
tersusun.
Luka lama berikutan kekalahan
di tangan Negeri Sembilan di Kuala Terengganu tempoh hari harus dilupakan
sebaliknya menganggapnya sebagai pengajaran untuk kebangkitan semangat juang
baru yang lebih bersungguh-sungguh.
Presiden Persatuan Bola Sepak
Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, beliau setakat ini
berpuas hati dengan perkembangan kesebelasan utama skuad Terengganu menjelang
pertarungan pertama separuh akhir Sabtu ini.
Menurutnya, para pemain ketika
ini berada pada tahap kecergasan yang memuaskan dan mereka sedang giat
menjalani latihan bagi menghadapi Sabah di Kota Kinabalu.
''Saya masih mengadakan
perbincangan demi perbincangan dengan jurulatih untuk memperkemaskan lagi
pasukan.
''Sementara susunan para pemain
setakat ini belum lagi diputuskan dan ia mungkin dibuat beberapa hari terakhir
menjelang perlawanan,'' katanya di Kuala Terengganu semalam.
Che Mat ketika mengulangi
pengesahannya berkata, Azman Ismail, Wan Ahmad Ridzuan dan penjaga gol Zubir
Ibrahim akan turut memikul tanggungjawab memastikan keputusan perlawanan
menggembirakan Terengganu.
Oleh: RADHUAN HUSSAIN
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PKNttFvq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan