ARKIB : 16/09/2003
Pasukan Sabah bersiap sedia untuk
menggempur Perak bagi memastikan mereka melepasi halangan perlawanan pertama
pusingan separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabtu
ini.
Walaupun masa terlalu singkat
iaitu hanya tinggal empat hari saja lagi untuk skuad Badak merangka strategi,
yang pasti para pemainnya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal.
Jurulatih Sabah, Justin Ganai
berkata, semangat para pemain Sabah amat tinggi dan sentiasa menunjukkan
komitmen untuk bekerja dalam satu pasukan.
``Bertemu Perak merupakan satu
perlawanan yang amat menarik kerana ini merupakan kali kedua kita bertemu
pasukan itu di separuh akhir Piala Malaysia dan yang pasti kami mempunyai
kelebihan sendiri,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika
ditemui Utusan Malaysia, di Stadium Likas, Kota Kinabalu di sini, semalam.
Perlawanan Sabah menentang Perak,
Sabtu ini akan menentukan sama ada Sabah dapat mengulangi sekali lagi kemampuan
mereka untuk ke perlawanan akhir Piala Malaysia.
Ia juga merupakan titik penentuan
bagi Sabah membuat persiapan sebaik mungkin menentang skuad Seladang sebelum
melakukan kunjungan balas ke Stadium Ipoh bagi meneruskan perlawanan pusingan
kedua 27 September ini.
Apa yang menarik pada pertemuan
kali ini ialah kedua-dua pasukan mempunyai kenangan sesama sendiri kerana ia
merupakan pertemuan kali kedua bagi kedua-dua pasukan itu di peringkat separuh
akhir.
Pada perlawanan separuh akhir
Piala Malaysia 2002, ia menyaksikan kejayaan Sabah mengenepikan cabaran Perak
dengan menang agreget 4-3 (memperolehi keputusan seri 2-2 di Stadium Likas dan
kemudian Sabah menang 2-1 di tempat lawan).
Persoalannya, mungkinkah sejarah
akan berulang? dan berjayakah Sabah kali ini mengatasi Perak yang juga
merupakan pasukan pilihan.
Mungkin masih terlalu awal untuk
membuat jangkaan, seperti kata Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk
Anifah Aman yang seterusnya menekankan kejayaan mengatasi Perak pada
pertandingan lalu tidak boleh dijadikan perkiraan.
Menurut Anifah, apa yang lebih
penting, para pemain perlu menumpukan perhatian dan memberi komitmen tinggi
mereka.
Katanya, skuad Badak mungkin akan
menghadapi beberapa kesulitan yang boleh memusnahkan impian Sabah untuk mara ke
peringkat akhir sekiranya tidak berhati-hati.
``Saya dimaklumkan ada pemain
yang cedera dan ada pemain yang perlu berhati-hati kerana telah menerima kad
kuning. Jadi, apa perlu dilakukan ialah persediaan rapi, strategi yang mantap
untuk menghadapi lawan,'' jelas Anifah.
Bagaimanapun, katanya lagi,
kemampuan skuad Badak pada masa ini berada pada tahap yang terbaik dan para
pemain juga mempunyai semangat yang tinggi untuk menghadapi skuad Seladang itu.
Sebelum ini Sabah telah dua kali
mara ke perlawanan akhir, bagaimanapun masih gagal untuk menjulang Piala
Malaysia.
Kali terakhir Sabah beraksi di
perlawanan akhir pada tahun 1996 di mana tewas kepada pasukan Selangor 4-5
melalui penentuan sepakan penalti.
Sebelum itu, Sabah pernah
menjuarai Piala FA pada tahun 1995 dan Piala Liga pada tahun 1996 sekali gus
menerima jolokan `King Of Borneo'.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4dYn3uCp8
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan