Sabtu, 25 Mac 2017

Sabah hampakan Netto di Ipoh



ARKIB : 28/10/2002
BAGAI sudah dikata, babak separuh akhir bola sepak Piala Malaysia memang sukar diduga. Jalan cerita telah dipinda.

Perak, yang menang ke atas Kedah dalam `undian peminat', rupanya tewas di gelanggang sebenar. Misi memijak kaki ke pentas akhir di Bukit Jalil Sabtu ini turut musnah.

Sabah, antara pasukan yang tidak pernah memahat nama di trofi kebanggaan itu dan tidak langsung menjadi pilihan, pasti amat puas bergembira kerana berjaya mengubah keyakinan tinggi ribuan penyokong Seladang di gelanggang mereka sendiri.

Memang Sabah lebih berhak diberi tiket ke final jika diukur kepada ketabahan mereka berentap pada dua peringkat separuh akhir itu.

Separuh akhir pertama di Likas sepatutnya memihak kepada mereka jika tidak kerana kelekaan pada lewat babak permainan.

Setelah berpenat lelah mendahului 2-0, sedikit kealpaan menghukum Sabah yang membuka laluan buat Perak menyamakan kedudukan.

Tetapi rupanya, barisan Justin Ganai mahu menghampakan Tony Netto di hadapan penyokongnya sendiri di Ipoh, Sabtu lalu.

Apa agaknya sudah berlaku dengan rentak samba Brazil hasil gubahan Netto. Adakah Justin lebih bijak menggunakan pengalaman singkat bersama Ken Worden untuk memecah percaturan rakan sejawatannya itu.

Namun yang jelas, terlalu yakin adalah kesimpulan mudah yang boleh dibuat terhadap kegagalan Perak.

Seladang sebenarnya juga terlupa bahawa mereka turun di gelanggang sendiri tanpa sebarang bekalan, atau mungkin tertekan dengan status pasukan terbaik ketika ini.

Sabah bermain tanpa tekanan dan mungkin tanpa faktor itu, mereka melangkah bergaya ke final buat kali kedua dalam sejarah mereka sejak 1996.

Tambah menceriakan jalan cerita, Sabah berpeluang menebus kehampaan 1996 itu kerana lawan yang bakal ditentang Sabtu ini, Selangor adalah pasukan yang mengecewakan mereka di Shah Alam pada penampilan pertama Sabah dalam kempen ini.

Bercerita tentang Selangor, barisan Worden hampir hilang arah apabila pentas akhir yang disediakan untuk mereka, menganjak sedikit ke depan, Sabtu lalu.

Kedah hampir meranapkan impian lima tahun mereka untuk kembali membina nama dalam kempen yang pernah dikuasai bertahun-tahun itu, apabila bangkit di Alor Setar.

Jika tidak kerana ketangkasan Azmin Azram Aziz di depan gawang, jalan cerita serupa Perak mungkin ditanggung Selangor.

Nyata modal dua gol ketika bertandang ke Alor Setar belum tentu terjamin tetapi di situlah, pengalaman pemain perlu.

Selaku juara 28 kali, Stadium Nasional di Bukit Jalil pasti akan dibanjiri lautan penyokong berbaju merah kuning yang tidak lagi sabar menyaksikan Gergasi Merah merangkul Piala Malaysia kali ke-29.

Apa pun, persaingan akhir Sabtu ini menjadi medan percaturan antara dua jurulatih yang pernah sebumbung sebelum ini, Worden dan Justin.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cOP87F00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan