ARKIB : 08/11/1998
JARINGAN hat trick pemain
import, Saphou Lassy memastikan Sabah mara ke separuh akhir bola sepak Piala
Malaysia selepas berpesta gol dengan menewaskan saingan terdekat Brunei 6-0
dalam perlawanan kumpulan B di Stadium Likas, semalam.
Naib juara Piala FA musim ini
itu menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri dengan kecemerlangan
pemain dari Gabon meledakkan jaringan hat trick pada minit ke-22, 53, 70.
Henry Soimpon turut meletakkan
namanya dalam senarai penjaring apabila menyumbat masuk gol ketiga pada minit
ke-41 sebelum kesilapan pertahanan Brunei, Liew Chuan Fue menyumbat masuk ke
gawang sendiri untuk gol kelima pada minit ke-82 dan jaringan terakhir Suharmin
Yusof pada minit ke-90.
Kejayaan ini menebus kembali
kegagalan Sabah musim lalu yang gagal menempatkan diri ke separuh akhir.
Buat Brunei peluang mereka
untuk ke separuh akhir masih ada dan hanya perlawanan terakhir menentang Perak
di gelanggang sendiri Sabtu ini memerlukan keputusan menang bagi mengikut jejak
langkah Sabah.
Kemenangan ini memastikan Sabah
memungut 16 mata manakala Brunei masih kekal dengan 11 mata. Sabah sudahpun
menamatkan saingan di peringkat kumpulan.
Kecemerlangan Lassy jelas
menjadi tarikan menolak masuk gol pertama pada minit ke-22.
Brunei yang tertekan dengan gol
awal itu cuba mengatur gerakan namun Lassy sekali lagi menggamatkan Stadium
Likas dengan gol peribadi keduanya pada minit ke-53.
Dua gol itu menyemarakkan anak
buah Ken Shelito yang terus memperkukuhkan kedudukan menerusi sepakan kencang
Henry pada minit ke-41.
Begitupun Sabah memperoleh
sepakan penalti namun Lassy gagal menyempurnakan sepakan itu.
Bagaimanapun dia menebus
kembali kegagalan itu apabila meledakkan jaringan hat trick menutup terus
kehebatan Brunei dalam usaha mencari kemenangan.
Sabah terus mengasak pada minit
terakhir sehingga Brunei tertekan dan melepaskan dua lagi gol dalam tempoh 10
minit terakhir menerusi kesilapan Chuan Fue pada minit ke-82 dan jaringan
Suharmin minit ke-90.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PDadcSTZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan