Jumaat, 24 Mac 2017

Sabah ikat kegarangan Pahang



ARKIB : 11/08/2002
  SABAH menyekat kemaraan Pahang dalam Kumpulan A bola sepak Piala Malaysia apabila mengikat Tok Gajah 1-1 dalam perlawanan di Stadium Penampang, Kota Kinabalu, semalam.

Skuad Badak mengejutkan pasukan lawan apabila mendahului 1-0 seawal minit pertama perlawanan menerusi rembatan mudah Rusdin Wasli hasil bola muntah.

Gol itu berpunca daripada gerakan mantap gandingan penyerang Zainizam Marjan dan pemain import dari Liberia, Josiah Seton.

Tetapi tuan rumah gagal memanfaatkan gelanggang sendiri untuk memecah rekod tanpa kalah Pahang.

Namun tersentak dengan jaringan itu, pasukan pelawat mengatur serangan balas dan berjaya menyamakan kedudukan melalui penyerang importnya, Melnikov Viatcheslav pada minit keenam.

Melnikov yang merembat kencang dari sebelah kanan pintu gol Sabah berjaya membolosi gawang yang dikawal oleh Khairul Azman Mohamad.

Permainan bertambah rancak selepas itu dengan kedua-dua pasukan membuat serangan bertali-arus untuk memastikan kemenangan pasukan masing-masing.

Sabah mempunyai banyak peluang untuk menambah jaringan tetapi gagal disudahkan dengan baik oleh Seton dan juga Zainizam yang dikawal rapi oleh Azmil Azali.

Pada separuh masa kedua perlawanan, Sabah membawa masuk Suharmin Yusof untuk menguatkan jentera serangan tetapi masih gagal merobek kekebalan benteng pertahanan Pahang.

Perlawanan kekal 1-1 hingga wisel penamat oleh pengadil dari Kedah, Ahmad Khalidi Supian.

Ketegangan berlaku apabila beberapa Ahli Jawatankuasa Persatuan Bolasepak (SAFA) termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Lawrence Gimbang yang tidak puashati dengan mutu pengadilan yang dianggap berat sebelah cuba menyerang para pengadil sewaktu dalam perjalanan masuk ke bilik persalinan.

Bagaimanapun, kekecohan itu dapat diredakan oleh beberapa Ahli Jawatankuasa yang lain dan tiada sebarang insiden pergaduhan berlaku

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cFZZc4tD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan