ARKIB : 01/11/2002
Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
PAHLAWAN Zulu, Josiah Seton
bertekad untuk memikul tanggungjawab mengetuai serangan skuad Badak pada
perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang Selangor esok, walaupun
terpaksa mengambil risiko tinggi akibat kecederaan pahanya yang belum pulih
sepenuhnya.
Penyerang import Liberia itu kini
hanya menjalani latihan ringan untuk mengelakkan kecederaan lebih serius apatah
lagi perlawanan yang paling dinanti-nantikan oleh dirinya iaitu menentang skuad
Merah Kuning di Stadium Bukit Jalil.
Josiah berkata, beliau masih
berasa sedikit kesakitan pada pahanya apabila berlari, tetapi kecederaan itu
tidak akan menghalangnya daripada beraksi dengan penuh semangat pada perlawanan
akhir nanti.
``Saya kini 99 peratus cergas dan
pasti akan turun dalam kesebelasan utama. Ini adalah perlawanan akhir dan saya
tidak mahu hanya memerhati di bangku simpanan.
``Saya akan menahan kesakitan
yang dialami untuk membantu Sabah menjulang Piala Malaysia,'' katanya kepada
Sukan Utusan di Kota Kinabalu, semalam.
Pemain berusia 23 tahun itu telah
menjaringkan 23 gol setakat ini dan digandingkan dengan penyerang kebangsaan,
Zainizam Marjan menjadi senjata utama skuad Badak yang sentiasa menembusi
gawang apabila berada di depan pintu gol lawan.
Bagaimanapun, Seton mengaku
menggalas tugas berat berhadapan dengan Selangor apatah lagi dengan ketiadaan
K. Sanbagamaran dan Shahrin Majid.
``Selangor adalah pasukan yang
mempunyai ramai pemain yang bagus. Adalah sukar bersaing dengan mereka tetapi
kita jangan lupa yang ini adalah perlawanan akhir... pelbagai kemungkinan boleh
berlaku di padang,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cOYVxfjS©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan