ARKIB : 03/10/2003
Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
PEMAIN-pemain Sabah yang diketuai
ketua pasukannya, Jelius Ating (depan) menjalani latihan ringan di Kompleks
Sukan Matsushita di Shah Alam semalam menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia
menentang MPPJ di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok. - Gambar ABD. RAHMAN
SALEH.
PENYERANG MPPJ Selangor, Juan
Manuel Arostegui mempunyai perhitungan peribadi dengan penjaga gol
berpengalaman Sabah, Khairul Azman Mohamad dalam perlawanan akhir bola sepak
Piala Malaysia, Sabtu ini.
Penyerang dari Argentina yang
menganggap Khairul sebagai penjaga gol terbaik negara ini, memang menanti
perlawanan tersebut kerana mahu menewaskan bekas penjaga gol kebangsaan itu.
Menurut Juan, Khairul sememangnya
tangkas dan berjaya menghalang percubaannya dalam beberapa pertemuan sebelum
ini.
``Kami pernah bertemu pada
perlawanan di peringkat kumpulan. Dia memang hebat dan menyelamatkan beberapa
percubaan saya,'' katanya.
Kedua-dua pasukan yang berada
dalam Kumpulan C bertembung sebanyak dua kali sebelum ini.
Pada perlawanan pertama di Sabah,
Juan gagal menjaringkan gol dan skuad Badak itu menang 1-0 hasil jaringan
tunggal Keith Gumbs.
Walaupun berjaya membocorkan
gawang Khairul pada perlawanan kedua di gelanggang sendiri yang berkesudahan
seri 1-1, Juan masih belum puas kerana ia diperolehi melalui sepakan penalti.
``Kalau boleh saya mahu
menewaskannya melalui gol padang dan ia tentu lebih bermakna kalau dapat
dilakukan pada perlawanan akhir,'' ujarnya.
Walaupun pun sudah berusia 35
tahun, Khairul tetap menjadi sandaran Sabah untuk menyekat asakan penyerang
lawan.
Dalam perlawanan separuh akhir,
penjaga gol itu mempamerkan persembahan cemerlang dengan menyelamatkan beberapa
percubaan berbahaya pemain import Perak, Bhaicung Bhutia dan Frank Seator dan
membantu pasukannya menang 3-1.
Menurut Juan lagi, dia mengaku
bakal berdepan laluan sukar kerana selain Khairul yang berada di kemuncak
prestasinya, dia perlu melepasi kawalan ketat benteng pertahanan Sabah.
``Saya yakin pergerakan saya akan
dikawal ketat oleh pemain pertahanan. Tetapi itu perkara biasa bagi seorang
penyerang.
``Saya perlu bekerja keras
melepasi kawalan mereka sebelum boleh menguji penjaga gol,'' ujar penjaring
terbanyak Perdana Dua itu dengan 33 gol.
Sementara itu, Juan percaya
pemain muda, Haris Safwan Kamal mampu menggalas tugas sebagai pemusnah jika
pergerakannya dan rakan senegara, Bruno dikawal ketat oleh pertahanan Sabah.
Ujarnya, Haris menunjukkan
permainan yang matang dan yakin pemain itu mampu menangani tekanan beraksi
dalam perlawanan akhir nanti.
``Dia pantas dan kerap melakukan
larian mengelirukan lawan selain boleh menjaringkan gol.
``Jika saya dan Bruno dikawal
ketat, ia akan membuka ruang lebih luas kepada Haris untuk menjaringkan gol,''
katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dcInwMB4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan