ARKIB : 29/09/2003
Oleh KAMARUDDIN ISMAIL
KEJAYAAN mengawal bahagian tengah
dan mengikat penyerang utama Perak menjadi kunci utama Sabah melangkah kaki ke
perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Majlis Perbandaran Petaling Jaya
(MPPJ) Selangor di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini.
Ketua Pasukan Sabah, Jelius Ating
mengakui kehadiran lima pemain tengah yang diketuai oleh K. Sanbagamaran
berjaya memberi tekanan pada Perak.
Sehubungan dengan itu, katanya,
mereka dapat melakukan banyak hantaran lambung kepada Robert Mark Gasper dan
Keith Gumbs bagi menggegar pintu gol pasukan tuan rumah.
Skuad Di Bawah Bayu itu layak ke
perlawanan akhir dengan menumbangkan Perak 3-1 dalam perlawanan separuh akhir
kedua menjadikan agregat 4-2. Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam separuh akhir
pertama di Kota Kinabalu 20 pada September lalu.
``Kami turut mengunci dua
penyerang berbisa, Bhaichung Bhutia dan Frank Seator bagi melumpuhkan serangan
Perak,'' kata Jelius ketika ditemui di Ipoh semalam.
Ketua pasukan itu ditugaskan
mengawal Bhaichung dari India dan Madzalan Emoi pula mengikuti rapat setiap
pergerakan bekas penyerang Liberia, Seator.
``Jika kami tidak mengawal ketat
kedua-dua penyerang tersebut sudah pasti hasrat bermain dalam perlawanan akhir
bagi kali kedua berturut-turut berkecai,'' jelas Jelius.
Katanya, strategi yang disusun
oleh ketua jurulatih, Peter James Butler dan Justin Ganai mampu mematikan
pergerakan pasukan tuan rumah yang disokong oleh 32,000 orang itu.
Selain itu katanya, kerjasama
antara pemain memantapkan lagi setiap pergerakan mereka dan sekali gus menutup
ruang pemain- pemain Perak untuk menggugat pintu gol Sabah.
Ketua pasukan itu percaya Sabah
mampu menjulang Piala Malaysia jika persefahaman yang mantap itu dapat
dikekalkan dalam perlawanan akhir Sabtu ini.
Sementara itu, Butler berkata,
kedua-dua pasukan mampu mempamerkan persembahan yang menarik walaupun bermain
di atas padang yang basah.
``Semua pemain mengikuti setiap
arahan yang ditetapkan membuatkan Sabah mampu mempamerkan persembahan yang
lebih baik berbanding di Kota Kinabalu,'' katanya.
Ketua jurulatih itu berkata,
penjaga gol, Khairul Azman Mohamad turut memainkan peranan penting apabila
berjaya menidakkan hasrat pasukan tuan rumah mendapatkan gol.
Penjaga gol veteran itu berjaya
menangkis beberapa cubaan merbahaya Bhaichung dan Seator yang mana secara tidak
langsung menaikkan lagi semangat rakan sepasukannya mendapatkan gol kemenangan.
Mengenai perlawanan akhir, Butler
berkata, beliau tidak mengetahui kekuatan sebenar MPPJ tetapi akan membuat
penelitian bagi mengatur strategi hari ini.
``Saya percaya Sabah mampu
menjulang Piala Malaysia jika semua pemain dapat mengekalkan prestasi
masing-masing seperti perlawanan separuh akhir ini,'' tambahnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4daOjcPy7
© Utusan Melayu (M) BhdS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan