Jumaat, 7 April 2017

Laluan sukar buat Sabah



ARKIB : 21/09/2003
SABAH bakal menghadapi laluan sukar pada saingan kedua separuh akhir selepas sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Perak di Stadium Likas, Kota Kinabalu dalam perlawanan yang menarik dan mencemaskan malam tadi.

Pasukan tuan rumah yang ketinggalan 0-1 pada minit ke-45 bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga minit ke-72 perlawanan sebelum berjaya mengikat kedudukan menerusi jaringan pemain gantian, Zaykeil Leong.

Pemain import Perak, Bhaichung Bhutia meletakkan skuad `Kejor Yob Kejor' di hadapan pada minit terakhir pada separuh masa pertama apabila mudah menanduk masuk bola hantaran daripada Yusri Che Lah untuk membolosi gawang lawan yang dikawal oleh Khairul Azman Mohamad.

Gol Sabah diperoleh menerusi satu pergelutan di depan pintu gol Perak. Zaykiel berjaya menguis bola ke sebelah kanan pintu gol Perak untuk menewaskan Mohd. Hamsani Ahmad sekaligus menceriakan Skuad Badak yang ketinggalan 0-1.

Perlawanan berlangsung dalam keadaan padang licin akibat hujan lebat di hadapan 30,000 penonton,

Pergerakan pemain agak terhad berikutan keadaan padang yang licin akibat hujan.

Pasukan pelawat lebih banyak menguasai permainan sejak wisel awal permainan dengan menyaksikan hantaran-hantaran kemas terutama dari sayap kanan melalui Ahmad Norafandy yang sentiasa membuat umpanan cantik untuk mengkucar-kacirkan pertahanan skuad Badak.

Stadium Likas kali ini sesak dengan kehadiran penyokong tuan rumah yang mahu menyaksikan pasukan mereka mencipta kemenangan sebagai bekalan bertandang ke Ipoh, minggu depan.

Sabah mempunyai beberapa peluang untuk membolosi gawang lawan termasuk pada minit ke-37 apabila serangan pantas yang diterajui oleh Rosdin Wasli berjaya membuat umpanan kepada Keith Gumbs sebelum melorongkan bola kepada Robert Mark Gaspar yang merembat kencang dari jarak kira-kira 25 meter.

Bagaimanapun, sepakan lintang yang kencang itu tersasar sedikit ke sebelah kiri pintu gol Perak yang dikawal oleh Mohd. Hamsani Ahmad.

Pada separuh masa kedua, Sabah memasukkan penyerang kebangsaan, Zainizam Marjan menggantikan Rosdin Wasli dan ternyata pertukaran itu mengubah corak permainan skuad Badak daripada banyak bertahan kepada menyerang.

Zainizam berjaya mengucar-kacirkan pertahanan Perak apabila beberapa gerakannya dapat menembusi benteng pertahanan lawan bagaimanapun kecekapan penjaga gol skuad Seladang, Hamsani menafikan hasrat tuan rumah untuk mencatat kemenangan sebagai bekalan ke Ipoh.

SABAH:

Khairul Azman Mohamad, Borhan Ajui, Mazlan Emoi, Robert Mark Gaspar, K. Sanbagamaran, Md. June Azral Lalah (Dois Mark Elan), Rosdin Wasli (Zainizam Marjan), Keith Gumbs, Jelius Ating, Bobby Gonzalez (Zaykiel Leong), Redzuan Khan Aman.

PERAK:

Mohamad Hamsani Ahmad, Chan Kok Heng, Syamsol Mohd. Saad, Ahmad Shahrul Azhar, Chan Weng Hoong, Yusri Che Lah, Baichung Bhutia, Indra Putra Mahyuddin, Ahmad Nor Affany, K. Nantha Kumar, Frank Seator

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dZfKxEEP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan