ARKIB : 01/10/2003
Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
DUA tonggak import Sabah, Keith
Gumbs (dua dari kiri) dan Robert Gaspar berebut bola sambil diperhatikan K.
Sanbagamaran (kanan) dan Peter Butler (kiri) semasa latihan skuad Badak di
Stadium Likas semalam menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia menentang MPPJ,
Sabtu ini. - Gambar ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN.
SKUAD Badak tidak mahu dianggap
sebagai pasukan pilihan biarpun telah dua kali menjejak kaki ke perlawanan
akhir Piala Malaysia.
Presiden Persatuan Bola Sepak
Sabah (SAFA), Datuk Anifah Aman menegaskan, cabaran pasukan MPPJ Selangor tidak
boleh dipandang ringan semata-mata disebabkan mereka bertaraf kelab.
Sebaliknya, kata beliau, pasukan
di bawah bimbingan bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh itu turut dibarisi
oleh pemain-pemain merbahaya yang boleh memadamkan hasrat Sabah untuk menjulang
Piala Malaysia buat kali pertama.
Justeru, pemain Sabah dan juga
para penyokong tidak harus berfikiran pasukan MPPJ Selangor itu bakal menjadi
ratahan mudah Skuad Badak.
``Adalah sesuatu yang merbahaya
jika pemain kita menganggap akan menang mudah dalam pertemuan dengan pasukan
bertaraf kelab itu Sabtu ini.
``Tanggapan sedemikian akan
menjadi kesilapan paling besar bagi mana-mana pemain bolasepak yang memandang
rendah kemampuan pasukan lawan kerana lihat saja bagaimana mereka membenam
pasukan yang lebih mantap seperti Pahang dan Perlis,'' katanya ketika dihubungi
di Kuala Lumpur, semalam.
Anifah berkata, saingan akhir
Sabtu ini pastinya sengit dan para pemain perlu meneruskan aksi cemerlang
masing-masing untuk memastikan kemenangan Sabah.
Katanya, tumpuan harus diberi
kepada kedua-dua pemain import dari Argentina iaitu Juan Manuel Arostegui dan
Bruno Sebastian Martellotto yang sentiasa berupaya menjaringkan gol jika tidak
diawasi.
Selain itu, MPPJ turut dibarisi
oleh pemain berpengalaman seperti Anuar Abu Bakar dan Khairil Zainal yang boleh
melakar sejarah sebagai pasukan kelab pertama menjulang Piala Malaysia.
``Kita tidak boleh melakukan kesilapan
seperti (yang menimpa pasukan Pahang dan Perlis). Kita menghormati MPPJ sebagai
pasukan yang mempunyai pemain yang baik walaupun hanya bertaraf kelab,''
tambahnya.
Tentang penyokong Skuad Badak
pada Sabtu ini, Anifah menjangkakan sokongan padu berdasarkan beberapa
pertanyaan daripada penyokong yang bekerja dan menuntut di Semenanjung.
``Kita menjangka ribuan penyokong
dari Johor dan Pulau Pinang akan bertandang ke Bukit Jalil atas perbelanjaan
sendiri untuk memberi sokongan padu kepada pasukan Sabah.
``Urusan untuk membawa seberapa
ramai penyokong dari Sabah menyaksikan perlawanan akhir itu juga sedang dibuat
tetapi ia bergantung kepada bilangan tempat duduk yang mampu disediakan oleh
syarikat penerbangan,'' jelasnya.
Sementara itu, Robert Mark Gaspar
mendapat khabar gembira apabila keluarganya akan terbang dari Perth, Australia
ke Kuala Lumpur, Jumaat ini untuk menyaksikan final Piala Malaysia.
Pemain import berusia 22 tahun
itu berkata, kedatangan kedua ibu bapa dan adik lelakinya pasti menyuntik
semangat untuk lebih bekerja keras serta menjaringkan gol.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dc57gVsv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan