Jumaat, 7 April 2017

Zainizam azam tebus kekecewaan Matlan



ARKIB : 01/10/2003

KEGAGALAN pasukan Sabah merangkul Piala Malaysia pada 1996 akibat tewas kepada Selangor 5-4 menerusi penentuan tendangan penalti mungkin masih segar dalam ingatan para peminat sukan bola sepak tempatan, lapor HALIMAH JULKIP.

Ia merupakan detik yang sukar dilupakan kerana itulah kali pertama Sabah melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia walaupun mereka akhirnya gagal meraih kejuaraan.

Ketika itu nama penyerang utama Sabah, Matlan Marjan amat digeruni dan disebut-sebut sebagai penggempur berbahaya.

Kelicikan dan kepantasan pemain dari Kota Belud yang juga bekas ketua pasukan kebangsaan itu mencuri tumpuan para peminat bola sepak negara.

Kini, nama `Marjan' sudah tenggelam dalam kancah bola sepak negara namun muncul seorang lagi penggempur baru yang hampir menyamai kelincahannya di atas padang.

Penyerang skuad Sabah, Zainizam Marjan, adik kepada Matlan semakin mencipta nama menggantikan tempat yang ditinggalkan abangnya.

Walaupun mungkin tidak dapat mengatasi pencapaian abangnya, Zainizam berjaya membuktikan bahawa dia juga hebat dan pernah menyarung jersi kebangsaan selain memberikan sumbangan yang besar ketika membantu kemenangan skuad badak.

Bagi Zainizam, kemaraan Sabah ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2003 adalah sebagai peluang keemasan yang amat ditunggu-tunggu.

Dia berazam untuk menebus kekecewaan abangnya lapan tahun lalu setelah gagal memberikan kemenangan kepada pasukan Sabah.

Kini, Zainizam ingin menyambung impian abangnya untuk mencatatkan sejarah paling manis untuk merebut kejuaraan kali ini sekali gus menjadikannya sebagai hadiah paling istimewa kepada Matlan.

``Kemenangan menjadi impian saya dan pasukan Sabah sendiri. Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kemenangan menjadi milik kami kali ini,'' katanya di Kota Kinabalu, semalam.

Pada masa ini, Sabah telah membuktikan keupayaan mereka apabila menumpaskan Perak untuk melangkah ke perlawanan akhir.

Tahun ini juga merupakan kali ketiga Sabah berjaya memasuki perlawanan akhir Piala Malaysia. Bagaimanapun mereka masih belum berpeluang menjulang Piala Malaysia.

Kedua-dua perlawanan akhir Piala Malaysia berlangsung di Lembah Klang pada 1996 dan 2002 dan kini Sabah kembali lagi bertekad untuk membawa pulang piala berprestij negara itu buat julung kalinya ke Negeri di Bawah Bayu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dc6qFpIn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan