Selasa, 11 April 2017

Seton bantu kejayaan Sabah



ARKIB : 15/02/2004

JARINGAN dua gol daripada pemain yang hampir diketepikan musim ini, Josiah Seton berjaya membantu Sabah menewaskan pasukan Sarawak 3-1 dalam perlawanan pertama Piala Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam, lapor HALIMAH JULKIP.

Gol-gol pasukan tuan rumah dijaringkan pada minit ke-14 dan 73 oleh Josiah dan Keith Gumbs (minit ke-74), manakala gol Sarawak daripada Gilbert Cassidy Gawing (minit ke-9).

Kejayaan pasukan pelawat melakukan kejutan seawal minit ke-9 tidak mengoyahkan semangat pemain pasukan Badak dan hasil sokongan padu kira-kira 10,000 penyokong mereka, Sabah menukar corak permainan pantas dan agresif pada separuh masa kedua.

Hasilnya, pasukan tuan rumah berjaya menambah jaringan menerusi Josiah dan belum pun sempat Bujang Senang tersentak dengan gol itu, Keith Gumbs menambah kepedihan pasukan pelawat apabila menjaringkan gol ketiga selang seminit.

Sabah sememangnya banyak peluang untuk menjaringkan gol pada separuh pertama dan seawal babak kedua, tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

Terdahulu itu, gol Bujang Senang diperolehi hasil rembatan Gilbert apabila penjaga gol Khairul Azman Mohamad yang meluru keluar dalam usaha menyelamatkan bola, tetapi berlaku salah faham antara pemain pertahanan, Md. Reithuddin Emran.

Bagaimanapun, pada minit ke-52, pasukan tuan rumah hampir menerima padah apabila pemain tengah Sarawak, Ramles Sari berjaya meloloskan diri dan merembat masuk gol, tetapi pengadil Danny Ong Kim Heng dari Selangor, tidak teragak-agak membatalkan jaringan tersebut kerana dia berada dalam kedudukan off-side.

Bagaimanapun, pemain Badak yang menyedari mereka harus memenangi perlawanan pertama ini di tempat sendiri mengubah corak permainan dengan lebih aggresif dan menyerang.

Pada perlawanan itu, dua kad kuning dihadiahkan oleh pengadil kepada pemain Bujang Senang, Raymos Sari dan Hussein Abdul Razak.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dxB8dTRf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan