ARKIB : 19/09/2003
WALAUPUN detik mencemaskan
semakin hampir dengan hanya tinggal 48 jam sebelum berlangsungnya perlawanan bola
sepak separuh akhir pertama Piala Malaysia, skuad Sabah tetap menaruh keyakinan
tinggi untuk mencatat kemenangan ke atas Perak di gelanggang sendiri, lapor
MOHD. RADZI MOHD. ZIN.
Ini berdasarkan gandingan dan
persefahaman yang semakin mantap di antara para pemain termasuk ayam tambatan
Sabah, Keith Gumbs.
Presiden Persatuan Bola Sepak
Sabah (SaFA), Datuk Anifah Aman berkata, masalah berpuak-puak di kalangan
pemain yang pernah berlaku sebelum ini sudah tidak timbul dan memudahkan mereka
memberi tumpuan terhadap perlawanan penting itu.
Katanya, keadaan sekarang adalah
berbeza dan jauh lebih mesra, malah sikap pemain-pemain import yang gigih
mempelajari Bahasa Melayu khususnya Robert Mark Gaspar yang sanggup mengikuti
tuisyen untuk menambahkan pengetahuannya.
Bagaimanapun, jelas beliau, apa
yang penting ialah mencatat kemenangan walaupun berhadapan dengan juara liga
untuk mencerahkan peluang ke perlawanan akhir.
``Pesanan saya, kita mesti
menang..saya tidak kira berapa gol dan saya telah maklumkan kepada pemain
bahawa dalam liga, Perak juara dan kita tempat keempat, jurangnya tidak jauh.
``Dan kita buktikan bahawa jika
kita menaruh keyakinan kepada diri sendiri,'' katanya di Kota Kinabalu,
semalam.
Anifah berkata, dari segi
kemampuan kedua-dua pasukan adalah agak seimbang lebih-lebih lagi dengan
semangat yang ditunjukkan oleh pemain-pemain muda.
Buat kali pertama, katanya, para
pemain tidak membangkitkan soal insentif atau ganjaran yang bakal diperoleh
jika menang dan dapat ke final.
``Dulupun tak begitu menekan
(ganjaran) tetapi ada juga yang tanya jika menang dapat apa, tetapi kali ini
menang dulu baru difikirkan,''``Kita bukan saja lihat untuk final tetapi
menjadikan skuad ini yang terbaik dari segi semangat termasuk pemain muda,''
jelasnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dZMQHBk0
© Utusan Melayu (M) BhdS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan