ARKIB : 04/10/2003
PENGALAMAN memeritkan akibat
tewas menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir 1996 dan
jaringan emas pada tahun lalu membuatkan Sabah kali ini bertekad untuk meraih
kejuaraan Piala Malaysia musim ini dalam tempoh 90 minit permainan sebenar.
Jurulatih Teknikal Sabah, Peter
Butler menegaskan, mana-mana pasukan seboleh-bolehnya ingin mengelak beraksi
hingga masa tambahan atau penentuan sepakan penalti dan pasukannya juga tidak
terkecuali.
``Biar penyokong Selangor lebih
ramai daripada penyokong Sabah, biar kami dianggap pasukan pilihan, pada saya
itu tidak penting.
``Apa yang penting ialah Sabah
perlu menang dalam 90 minit permainan. Penentuan sepakan penalti selalunya
adalah loteri dan jaringan emas adalah bonus bagi Sabah.
``Jadi saya tidak mengharapkan
permainan akan berlanjutan selepas 90 minit tetapi kami tetap bersedia
menghadapinya jika ianya berlaku,'' ujarnya.
Beliau berkata, Sabah akan
bermain seperti kebiasaan yang ditunjukkan dalam perlawanan sebelum ini dan
tiada pemain-pemain MPPJ tertentu akan diberi tumpuan khas.
Malah beliau tidak langsung
bimbang tentang kehebatan dua pemain MPPJ dari Argentina, Juan Manuel Arostegui
dan Bruno Martelotto.
``Kami tidak akan cuba sekat
pergerakan mana-mana pemain MPPJ. Cuma kami akan mengekalkan corak permainan
yang sedia ada kerana ini penting untuk mengelakkan tekanan,'' ujarnya.
Mengenai faktor cuaca, Butler
berkata, ia tidak memberi apa-apa kelebihan pada Sabah walaupun pasukannya
sering dikaitkan dengan kejayaan besar menewaskan Perak dalam hujan di separuh
akhir kedua di Ipoh yang baru lalu.
``Hujan atau panas sama sahaja
kerana peluang kedua-dua pasukan sebenarnya bergantung kepada yang mana membuat
kurang kesilapan,'' tegasnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dcUGtFg8
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan