ARKIB : 23/09/2003
Oleh HALIMAH JULKIP KEKECEWAAN skuad Sabah berhubung
gol kontroversi di Stadium Likas, Sabtu lalu, tidak menggugat semangat
kesebelasan pemain pasukan itu untuk meneruskan perjuangan apabila bertandang
ke Stadium Perak, Sabtu ini.
Malah, skuad Badak mahu melupakan
`kenangan pahit' itu yang dianggap mereka sebagai sesuatu yang malang daripada
insiden yang sepatutnya memberi kemenangan kepada mereka.
Pada perlawanan separuh akhir
pertama Sabtu lalu, Sabah dan Perak seri 1-1 dan kedua-dua pasukan akan
bertembung sekali lagi pada separuh akhir kedua bola sepak Piala Malaysia
menentang skuad Seladang itu.
Walaupun insiden jaringan yang
tidak dibenarkan oleh pengadil itu masih dirasai, ia bukanlah alasan untuk
skuad Badak hilang tumpuan, kata jurulatihnya, Justin Ganai.
Walaupun Justin sendiri tidak
dapat menyembunyikan rasa kekecewaan apabila gol tandukan Bobby Gonzales yang
dilihat terkena paling dan jaring, tetapi tidak disahkan oleh pengadil dari
Pulau Pinang, Subkhiddin Mohd. Salleh dan penjaga garisan perlawanan itu, Kamil
Tumin, namun dia tidak mahu anak buahnya terbawa-bawa dengan insiden itu bagi
menghadapi perlawanan penting seterusnya.
Beliau juga sudah mengarahkan
anak buahnya supaya tidak memikirkan mengenai insiden yang mengelirukan itu
kerana mereka sekali lagi perlu berhadapan dengan pasukan Seladang tersebut.
``Kita tidak boleh biarkan
kekecewaan Sabtu lalu menghantui kita, yang pasti para pemain mesti memberi 100
peratus tumpuan bagi memastikan Sabah mencapai misi ke akhir,'' katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia, di Kota Kinabalu, semalam.
Katanya lagi, apa yang penting,
tumpuan harus diberikan kepada perlawanan Sabtu ini kerana ia adalah titik
penentuan bagi Sabah sama ada akan mara ke pusingan akhir ataupun sebaliknya.
Justin mengakui kedudukan 1-1
tidak menjamin mana-mana pasukan, sebaliknya kedua-dua pasukan mempunyai
peluang yang sama.
Bagaimanapun, katanya, anak
buahnya tidak menghadapi sebarang tekanan untuk menggempur Perak kerana bermain
di tempat lawan, manakala tuan rumah pula terpaksa berhadapan dengan ribuan
penyokong setia mereka.
``Sabtu ini akan jadi pusingan
penentu, kita mengharapkan tuah akan menyebelahi Sabah berbekalkan keyakinan
para pemain yang sentiasa bersedia untuk menghadapi siapa pun lawan,''
tegasnya.
Mengenai jaringan kontroversi
Gonzales itu pula, Justin berpendapat, perkara seperti itu tidak sepatutnya
berlaku.
Katanya, para pengadil sendiri
perlu meningkatkan tahap profesionalisme di kalangan mereka sendiri lebih-lebih
lagi dalam mengendalikan perlawanan dan situasi yang begitu penting seperti
ini.
Bagaimanapun, tambah Justin,
sebagai jurulatih pasukan, beliau menerima keputusan itu dengan hati terbuka
dan menghormati keputusan pengadil.
Beliau juga berharap tidak akan
berlaku perkara yang sama dalam perlawanan ulangan Sabtu ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dZnZnSrw
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan