ARKIB : 02/10/2003
SKUAD Sabah bakal mendapat
suntikan semangat apabila Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah dan
Ketua Menteri, Datuk Musa Aman dijangka akan turut sama dengan lebih 10,000
penyokong bola sepak menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium
Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, lapor HALIMAH JULKIP.
Musa juga berharap rakyat Sabah
terutama yang tinggal di Kuala Lumpur akan datang beramai-ramai untuk memberi
sokongan kepada Skuad Badak dalam cubaan merangkul kejuaraan musim ini.
Beliau turut melahirkan keyakinan
pasukan Sabah mampu mencipta kemenangan berbekalkan semangat juang yang tinggi
dan juga slogan `Sabah Boleh'.
Ditanya mengenai bentuk insentif
yang bakal diterima oleh pemain jika berjaya membawa pulang piala berprestij
itu, Musa berkata, bentuknya akan dibincangkan dalam jemaah Kabinet negeri.
``Pasti ada ganjaran jika berjaya
menjulang Piala Malaysia dan bentuknya akan kita putuskan selepas berjaya
nanti,'' tambahnya.
Sementara itu, Kelab Penyokong
Bolasepak Sabah (SFC) menjangkakan lebih 10,000 penyokong Sabah daripada
seluruh pelosok negara akan menyaksikan perlawanan antara pasukan negeri itu
menentang MPPJ Selangor.
Pengerusinya, Yaakub Khan
berkata, jangkaan itu berdasarkan panggilan telefon yang diterima daripada
penuntut-penuntut Sabah yang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT)
seluruh negara yang mahu bersama-sama menyokong Sabah, Sabtu ini.
``Kita telah menerima
senarai-senarai nama daripada pelajar-pelajar Sabah yang menuntut di beberapa
IPT di Semenanjung yang mahu menyertai kelab penyokong,'' katanya ketika
dihubungi Sukan Utusan, di Kota Kinabalu, semalam.
Menurut Yaakub, pihaknya
menjangka sambutan hebat yang sama akan diberi oleh penduduk Sabah yang akan
terbang ke Kuala Lumpur melalui pakej istimewa khas yang ditawarkan oleh
Penerbangan Malaysia (MAS).
Katanya, tarikh akhir tawaran
pakej itu sepatutnya berakhir semalam bagaimanapun akan disambung sehingga hari
ini untuk membolehkan lebih ramai penyokong daripada Sabah datang ke sana.
``Kita mengucapkan ribuan terima
kasih kepada pihak MAS yang telah menunjukkan sokongan mereka dengan menawarkan
pakej mudah dan jimat untuk penyokong kita.
``Jadi, para peminat yang masih
belum berjaya mendapatkan pakej tersebut bolehlah menghubungi Setiausaha
Eksekutif Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), Harry Baking melalui telefon
088-261623,'' katanya.
Selasa lalu, MAS mengumumkan
pakej istimewa khas untuk 500 penyokong Sabah untuk menyaksikan perlawanan
akhir Sabah bertemu MPPJ Selangor.
Pakej berharga RM799 untuk tiga
hari dua malam dan RM699 untuk dua hari satu malam turut menyediakan kemudahan
penginapan dan perjalanan serta tiket untuk menyaksikan perlawanan.
Bercakap mengenai tiket percuma
untuk para penyokong pasukan Sabah, Yaakub memberitahu, pihaknya masih menunggu
keputusan daripada Presiden Sabah FA, Datuk Anifah Aman.
``Kita tidak pasti sama ada, ada
atau tidak tiket percuma seperti tahun lalu, kita akan menunggu jawapan
daripada presiden untuk memutuskannya,'' jelasnya.
Sementara itu beliau mengingatkan
kepada para penyokong Sabah agar menyediakan semua kain rentang berbentuk
kata-kata semangat dengan slogan `Sabah Tatap'.
Katanya, Stadium Nasional Bukit
Jalil dijangka akan dibanjiri dengan penyokong Sabah yang menggunakan kombinasi
pakaian merah-putih.
Selain itu, beliau turut
mengingatkan para penyokong Sabah agar mengawal perasaan ketika berada di
stadium dan memastikan tidak membawa sebarang barang larangan seperti mercun.
``Kejadian provokasi biasanya
berlaku dalam perlawanan seperti ini, jadi kita mengingatkan para penyokong
agar menjaga tingkahlaku dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini,''
ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1002&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dcHCbccb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan