ARKIB : 24/04/2004
Malah, Zainizam yang hampir pasti disenaraikan dalam skuad Badak mengguatkan semula semangat pasukan itu yang agak pincang sejak beberapa perlawanan Liga Super dan Piala FA baru-baru ini.
Kehadiran Zainizam turut melegakan jurulatih Badak, Peter Butler yang menaruh harapan tinggi untuk memenangi perlawanan pertama di tempat lawan sekali gus mengenepikan gelaran `jaguh kampung' pasukan itu.
Daripada lima perlawanan Liga Super lalu, Sabah bermain sebanyak dua kali di tempat lawan. Mereka hanya meraih keputusan seri ketika menentang Pulau Pinang dan tewas sekali kepada Pahang.
Butler berkata, Sabah akan menurunkan barisan pemain yang lebih mantap termasuk penyerang yang digeruni, Zainizam Marjan.
Zainizam belum pernah diturunkan sejak bermula kempen Liga Super kerana kecederaan serius di bahagian lutut.
Bagaimanapun, pemain itu kembali menjalani latihan setelah kecederaannya beransur pulih dan sudah menjalani ujian kecergasan.
``Dengan kehadiran semula Zainizam, yang kembali berlatih ia membawa khabar gembira buat pasukan ini.
``Kehadirannya melengkapkan pasukan ini. Kami kini memiliki gandingan yang mantap di barisan hadapan dan pertahanan,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan di Kota Kinabalu, semalam.
Bagaimanapun, menurut Butler, Zainizam akan menjalani sekali lagi ujian kecergasan untuk memastikan pemain itu benar-benar bersedia.
Katanya, khidmat Zainizam amat diperlukan dan beliau berharap penyerang kebangsaan itu dapat beraksi dalam tempoh 90 minit atau sekurang-kurangnya separuh masa pertama atau kedua.
Selasa lalu, Zainizam turun dalam perlawanan persahabatan `memanaskan badan' menentang kelab MK Land pada separuh masa pertama.
``Prestasi yang dipamerkan oleh pemain itu sangat konsisten dan masih mempunyai gaya tersendiri,'' katanya.
Menurut Butler, beliau akan mengekalkan formasi pemain untuk perlawanan hari ini dengan menurunkan tonggak utama dengan melakukan sedikit perubahan jika Zainizam diturunkan.
Jelas beliau, apa yang pasti, bahagian pertahanan akan diperkuatkan lagi dengan mengekalkan para pemain yang berpengalaman seperti Jelius Ating dan Reithauddin Embran.
``Tumpuan utama kita ialah menjaringkan sebanyak mana gol yang boleh. Ini amat merumitkan kerana Sabah sudah dibolosi lebih daripada 10 gol hanya dalam lima permainan, pencapaian yang sangat teruk,'' jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan