ARKIB : 22/02/2003
SKUAD Badak yang seri dengan
Sarawak dalam perlawanan Liga Perdana Satu minggu lalu kini bersedia melayani
rentak Kelantan dalam perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.
Biarpun menyedari pasukan
pelawat akan bermain bermati-matian demi mencipta kemenangan sulung, Sabah
tidak rela berputih mata di gelanggang sendiri.
Jurulatih skuad Badak, Justin
Ganai berkata, anak-anak buahnya sudah bersiap sedia untuk mempamerkan aksi
hebat bagi memastikan tiga mata penuh dalam genggaman.
Katanya, mencipta kemenangan
awal bagi Sabah amat penting lebih-lebih lagi beraksi di hadapan para penyokong
yang sudah pasti mahu menyaksikan kemenangan selain persembahan bertenaga.
``Selepas berehat beberapa
bulan dan juga muncul naib juara Piala Malaysia 2002 saya rasa penyokong akan
turun beramai-ramai malam esok (hari ini) dan para pemain sudah tentu tidak
mahu menghampakan mereka,'' katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.
Ganai berkata, para pemain juga
telah diingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan semasa menentang skuad
Bujang Senang.
Katanya, dalam perlawanan itu
Sabah seolah-olah `terkejut' dengan jaringan awal pada minit ketujuh separuh
masa pertama oleh Ramos Sari menyebabkan mereka kehilangan rentak.
Ia ditambah pula dengan
jaringan kedua oleh Robert Eshun pada masa Sabah sedang mencari gol penyamaan
bagaimanapun keadaan dapat dipulihkan dalam separuh masa kedua selepas diberi
perangsang oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SaFA), Datuk Anifah Aman.
``Saya telah menasihatkan para
pemain supaya bermain berhati-hati dan menumpukan perhatian dari awal
permainan,'' tambah Ganai.
Mengenai barisan kesebelasan
utama pada perlawanan hari ini, Ganai berkata, beliau hampir pasti akan
mengekalkan semua pemain yang beraksi sewaktu menentang Sarawak dengan
meletakkan Zainizam Marjan dan Josiah Seton di bahagian serangan.
``Walaupun ada beberapa pemain
yang cedera, kita akan turunkan barisan yang terbaik malam esok (hari ini),''
jelasnya.
Sementara itu, penjaga gol
Sabah, Khairul Azman Mohamad yang melepaskan tiga gol dalam perlawanan dengan
Sarawak berjanji akan sedaya-upaya mempertahankan gawang daripada ditembusi
oleh pasukan Kelantan.
Katanya, walaupun masih belum
pulih sepenuhnya daripada kecederaan pada lutut kanan beliau dan pemain yang
lain menjanjikan persembahan terbaik dalam perlawanan hari ini.
``Kita tidak mahu menghampakan
para penyokong dan berharap mereka akan datang beramai-ramai untuk memberi
sokongan di Stadium Likas,'' jelasnya.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cciLX98H
© Utusan Melayu (M) Bhd