Ahad, 30 April 2017

Sabah yakin

ARKIB : 27/11/2004
JURULATIH Sabah mungkin akan membuat perubahan kecil keatas barisan pemain pasukan bimbingannya dalam usaha memastikan skuad `badak' mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2004.
Sabah akan mengulangi pertemuan menentang Kedah di gelanggang lawan malam ini setelah kedua-duanya seri 0-0 dalam perlawanan peringkat pertama di Stadium Likas, Selasa lalu.
Menurut Jose Garrido, meskipun membawa bekalan gol sewaktu aksi pertama di tempat sendiri, beliau tetap yakin Sabah berpeluang.
``Bermain di hadapan lebih 20,000 penyokong setia mereka (Kedah), ia tidak akan mematahkan semangat Sabah,'' katanya penuh yakin.
Pasukan itu bakal menurunkan barisan pemain yang sama ketika aksi pertama. Mereka termasuklah penjaga gol, Khairul Azman Mohd, Leosmar Santos da Nacimento, Md. Reithuddin Embran, Ronny Harun, Mohd Arsyah Mohd Ayob, Andrezinho Esposito, K. Sanbagamaran, Keith Gumbs dan Bobby Gonzalez.
Jelius Ating salah seorang pemain yang diletakkan sebagai pemain simpanan dalam perlawanan lalu, dijangka berada dalam kesebelsan utama.
Selain Jelius, seorang lagi pemain Madzalan Emoi pula menjadi teka-teki samada diturunkan hari ini.

Selasa, 18 April 2017

Zainizam legakan Sabah

ARKIB : 24/04/2004
KEHADIRAN semula Zainizam Marjan melegakan Sabah selepas penyerang kebangsaan itu pulih sepenuhnya daripada kecederaan untuk menghadapi saingan Piala Super menentang Perak di Ipoh, hari ini.
Malah, Zainizam yang hampir pasti disenaraikan dalam skuad Badak mengguatkan semula semangat pasukan itu yang agak pincang sejak beberapa perlawanan Liga Super dan Piala FA baru-baru ini.
Kehadiran Zainizam turut melegakan jurulatih Badak, Peter Butler yang menaruh harapan tinggi untuk memenangi perlawanan pertama di tempat lawan sekali gus mengenepikan gelaran `jaguh kampung' pasukan itu.
Daripada lima perlawanan Liga Super lalu, Sabah bermain sebanyak dua kali di tempat lawan. Mereka hanya meraih keputusan seri ketika menentang Pulau Pinang dan tewas sekali kepada Pahang.
Butler berkata, Sabah akan menurunkan barisan pemain yang lebih mantap termasuk penyerang yang digeruni, Zainizam Marjan.
Zainizam belum pernah diturunkan sejak bermula kempen Liga Super kerana kecederaan serius di bahagian lutut.
Bagaimanapun, pemain itu kembali menjalani latihan setelah kecederaannya beransur pulih dan sudah menjalani ujian kecergasan.
``Dengan kehadiran semula Zainizam, yang kembali berlatih ia membawa khabar gembira buat pasukan ini.
``Kehadirannya melengkapkan pasukan ini. Kami kini memiliki gandingan yang mantap di barisan hadapan dan pertahanan,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan di Kota Kinabalu, semalam.
Bagaimanapun, menurut Butler, Zainizam akan menjalani sekali lagi ujian kecergasan untuk memastikan pemain itu benar-benar bersedia.
Katanya, khidmat Zainizam amat diperlukan dan beliau berharap penyerang kebangsaan itu dapat beraksi dalam tempoh 90 minit atau sekurang-kurangnya separuh masa pertama atau kedua.
Selasa lalu, Zainizam turun dalam perlawanan persahabatan `memanaskan badan' menentang kelab MK Land pada separuh masa pertama.
``Prestasi yang dipamerkan oleh pemain itu sangat konsisten dan masih mempunyai gaya tersendiri,'' katanya.
Menurut Butler, beliau akan mengekalkan formasi pemain untuk perlawanan hari ini dengan menurunkan tonggak utama dengan melakukan sedikit perubahan jika Zainizam diturunkan.
Jelas beliau, apa yang pasti, bahagian pertahanan akan diperkuatkan lagi dengan mengekalkan para pemain yang berpengalaman seperti Jelius Ating dan Reithauddin Embran.
``Tumpuan utama kita ialah menjaringkan sebanyak mana gol yang boleh. Ini amat merumitkan kerana Sabah sudah dibolosi lebih daripada 10 gol hanya dalam lima permainan, pencapaian yang sangat teruk,'' jelasnya.

Selasa, 11 April 2017

Seton bantu kejayaan Sabah



ARKIB : 15/02/2004

JARINGAN dua gol daripada pemain yang hampir diketepikan musim ini, Josiah Seton berjaya membantu Sabah menewaskan pasukan Sarawak 3-1 dalam perlawanan pertama Piala Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam, lapor HALIMAH JULKIP.

Gol-gol pasukan tuan rumah dijaringkan pada minit ke-14 dan 73 oleh Josiah dan Keith Gumbs (minit ke-74), manakala gol Sarawak daripada Gilbert Cassidy Gawing (minit ke-9).

Kejayaan pasukan pelawat melakukan kejutan seawal minit ke-9 tidak mengoyahkan semangat pemain pasukan Badak dan hasil sokongan padu kira-kira 10,000 penyokong mereka, Sabah menukar corak permainan pantas dan agresif pada separuh masa kedua.

Hasilnya, pasukan tuan rumah berjaya menambah jaringan menerusi Josiah dan belum pun sempat Bujang Senang tersentak dengan gol itu, Keith Gumbs menambah kepedihan pasukan pelawat apabila menjaringkan gol ketiga selang seminit.

Sabah sememangnya banyak peluang untuk menjaringkan gol pada separuh pertama dan seawal babak kedua, tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

Terdahulu itu, gol Bujang Senang diperolehi hasil rembatan Gilbert apabila penjaga gol Khairul Azman Mohamad yang meluru keluar dalam usaha menyelamatkan bola, tetapi berlaku salah faham antara pemain pertahanan, Md. Reithuddin Emran.

Bagaimanapun, pada minit ke-52, pasukan tuan rumah hampir menerima padah apabila pemain tengah Sarawak, Ramles Sari berjaya meloloskan diri dan merembat masuk gol, tetapi pengadil Danny Ong Kim Heng dari Selangor, tidak teragak-agak membatalkan jaringan tersebut kerana dia berada dalam kedudukan off-side.

Bagaimanapun, pemain Badak yang menyedari mereka harus memenangi perlawanan pertama ini di tempat sendiri mengubah corak permainan dengan lebih aggresif dan menyerang.

Pada perlawanan itu, dua kad kuning dihadiahkan oleh pengadil kepada pemain Bujang Senang, Raymos Sari dan Hussein Abdul Razak.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dxB8dTRf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 7 April 2017

Butler mahu selesai dalam 90 minit



ARKIB : 04/10/2003
PENGALAMAN memeritkan akibat tewas menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir 1996 dan jaringan emas pada tahun lalu membuatkan Sabah kali ini bertekad untuk meraih kejuaraan Piala Malaysia musim ini dalam tempoh 90 minit permainan sebenar.

Jurulatih Teknikal Sabah, Peter Butler menegaskan, mana-mana pasukan seboleh-bolehnya ingin mengelak beraksi hingga masa tambahan atau penentuan sepakan penalti dan pasukannya juga tidak terkecuali.

``Biar penyokong Selangor lebih ramai daripada penyokong Sabah, biar kami dianggap pasukan pilihan, pada saya itu tidak penting.

``Apa yang penting ialah Sabah perlu menang dalam 90 minit permainan. Penentuan sepakan penalti selalunya adalah loteri dan jaringan emas adalah bonus bagi Sabah.

``Jadi saya tidak mengharapkan permainan akan berlanjutan selepas 90 minit tetapi kami tetap bersedia menghadapinya jika ianya berlaku,'' ujarnya.

Beliau berkata, Sabah akan bermain seperti kebiasaan yang ditunjukkan dalam perlawanan sebelum ini dan tiada pemain-pemain MPPJ tertentu akan diberi tumpuan khas.

Malah beliau tidak langsung bimbang tentang kehebatan dua pemain MPPJ dari Argentina, Juan Manuel Arostegui dan Bruno Martelotto.

``Kami tidak akan cuba sekat pergerakan mana-mana pemain MPPJ. Cuma kami akan mengekalkan corak permainan yang sedia ada kerana ini penting untuk mengelakkan tekanan,'' ujarnya.

Mengenai faktor cuaca, Butler berkata, ia tidak memberi apa-apa kelebihan pada Sabah walaupun pasukannya sering dikaitkan dengan kejayaan besar menewaskan Perak dalam hujan di separuh akhir kedua di Ipoh yang baru lalu.

``Hujan atau panas sama sahaja kerana peluang kedua-dua pasukan sebenarnya bergantung kepada yang mana membuat kurang kesilapan,'' tegasnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dcUGtFg8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perhitungan Arostegui - Khairul



ARKIB : 03/10/2003
Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
 
PEMAIN-pemain Sabah yang diketuai ketua pasukannya, Jelius Ating (depan) menjalani latihan ringan di Kompleks Sukan Matsushita di Shah Alam semalam menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia menentang MPPJ di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok. - Gambar ABD. RAHMAN SALEH.

PENYERANG MPPJ Selangor, Juan Manuel Arostegui mempunyai perhitungan peribadi dengan penjaga gol berpengalaman Sabah, Khairul Azman Mohamad dalam perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia, Sabtu ini.

Penyerang dari Argentina yang menganggap Khairul sebagai penjaga gol terbaik negara ini, memang menanti perlawanan tersebut kerana mahu menewaskan bekas penjaga gol kebangsaan itu.

Menurut Juan, Khairul sememangnya tangkas dan berjaya menghalang percubaannya dalam beberapa pertemuan sebelum ini.

``Kami pernah bertemu pada perlawanan di peringkat kumpulan. Dia memang hebat dan menyelamatkan beberapa percubaan saya,'' katanya.

Kedua-dua pasukan yang berada dalam Kumpulan C bertembung sebanyak dua kali sebelum ini.

Pada perlawanan pertama di Sabah, Juan gagal menjaringkan gol dan skuad Badak itu menang 1-0 hasil jaringan tunggal Keith Gumbs.

Walaupun berjaya membocorkan gawang Khairul pada perlawanan kedua di gelanggang sendiri yang berkesudahan seri 1-1, Juan masih belum puas kerana ia diperolehi melalui sepakan penalti.

``Kalau boleh saya mahu menewaskannya melalui gol padang dan ia tentu lebih bermakna kalau dapat dilakukan pada perlawanan akhir,'' ujarnya.

Walaupun pun sudah berusia 35 tahun, Khairul tetap menjadi sandaran Sabah untuk menyekat asakan penyerang lawan.

Dalam perlawanan separuh akhir, penjaga gol itu mempamerkan persembahan cemerlang dengan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya pemain import Perak, Bhaicung Bhutia dan Frank Seator dan membantu pasukannya menang 3-1.

Menurut Juan lagi, dia mengaku bakal berdepan laluan sukar kerana selain Khairul yang berada di kemuncak prestasinya, dia perlu melepasi kawalan ketat benteng pertahanan Sabah.

``Saya yakin pergerakan saya akan dikawal ketat oleh pemain pertahanan. Tetapi itu perkara biasa bagi seorang penyerang.

``Saya perlu bekerja keras melepasi kawalan mereka sebelum boleh menguji penjaga gol,'' ujar penjaring terbanyak Perdana Dua itu dengan 33 gol.

Sementara itu, Juan percaya pemain muda, Haris Safwan Kamal mampu menggalas tugas sebagai pemusnah jika pergerakannya dan rakan senegara, Bruno dikawal ketat oleh pertahanan Sabah.

Ujarnya, Haris menunjukkan permainan yang matang dan yakin pemain itu mampu menangani tekanan beraksi dalam perlawanan akhir nanti.

``Dia pantas dan kerap melakukan larian mengelirukan lawan selain boleh menjaringkan gol.

``Jika saya dan Bruno dikawal ketat, ia akan membuka ruang lebih luas kepada Haris untuk menjaringkan gol,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dcInwMB4
© Utusan Melayu (M) Bhd