Khamis, 15 Disember 2016

Liga Perdana: Sabah dapat khidmat Woodfield

ARKIB : 07/02/2000
BEKAS jurulatih kelab Newcastle, David Woodfield dijangka akan dilantik sebagai jurulatih Sabah bagi menghadapi cabaran bola sepak Liga Perdana musim ini.

Woodfield, yang secara rasmi menamatkan kontraknya bersama Persatuan Bola Sepak Brunei selaku jurulatih pasukan belia negara itu dijangka tiba di Kota Kinabalu, Rabu ini untuk menandatangani kontrak dua tahun.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), Datuk Anifah Aman, yang mengesahkan perkara itu semalam berkata, perjanjian mengenainya dibuatkan minggu lalu dan menambah, Woodfield pada dasarnya telah menerima tawaran SAFA.

''Beliau bakal menjadi jurulatih baru Sabah. Kami hanya menunggu pengesahan secara rasmi menerusi dokumen,'' kata Anifah.

Woodfield, 55, pernah melatih beberapa pasukan di Asia Barat sebelum menerima tawaran di Brunei, selama tiga tahun.

Sabah terdesak mendapatkan khidmat jurulatih baru selepas gagal dalam usahanya mendapatkan khidmat seorang lagi jurulatih dari Britain, Steve Wicks.

Wicks, 42, sepatutnya tiba 16 Januari lalu dari London, tetapi gagal selepas menerima tawaran kontrak dua tahun bersama SAFA pada 10 Januari lalu.

Dalam perkembangan lain, Anifah menyambut baik penubuhan akademi bola sepak swasta di Sabah.

''Ia amat baik dalam usaha mencungkil bakat baru,'' katanya.

Bekas jurulatih Sabah, Kelly Tham, bekas ketua pasukan kebangsaan, Matlan Marjan dan bekas pemain import, Scott Ollerenshaw baru-baru ini menubuhkan Akademi Bola Sepak Milennium (ABM), akademi bola sepak swasta yang pertama di negara ini.

ABM menawarkan empat jenis program latihan untuk para peserta berusia antara enam dan 20 tahun. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SuOEELfc © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 5 Disember 2016

Safa akan selesaikan isu Yap Wai Loon

ARKIB : 26/06/1999
NASIB pemain negara, Yap Wai Loon yang digantung enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) kerana dikatakan ponteng latihan pasukan, dijangka menemui penyelesaiannya hari ini.

Safa dalam satu kenyataan semalam, berkata, isu Wai Loon itu akan menjadi agenda utama mesyuarat majlis penuhnya hari ini bagi membincangkan rayuan pemain tersebut. Keputusan itu turut menjadi semakin penting buat Sabah dan jurulatih Ken Worden terutama apabila menghadapi Kuala Lumpur pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu hari ini.

Presiden Safa, Datuk Anifah Aman berkata, pihaknya menghargai nasihat Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah sebaik sahaja pemain itu dikenakan penggantungan yang berkuat kuasa 12 Jun lalu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4RxO4jWRj © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 3 Disember 2016

Sabah hampakan Pulau Pinang



ARKIB : 09/06/1999
KEMARAAN pemain Pulau Pinang, Nordin Kamis (kanan) terkandas akibat rempuhan belakang oleh Henry Soimpon pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam. Sabah menang penalti 4-3 selepas seri 0-0 masa sebenar. - Gambar GHAZALI BASRI.

PULAU Pinang turut menempah tiket ke Piala Malaysia biarpun tewas dengan penentuan penalti 3-4 kepada Sabah selepas seri tanpa jaringan dalam masa sebenar di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Sebaliknya Sabah yang memungut dua mata terpaksa berpuas hati dengan kemenangan penalti untuk turut memburu tempat seterusnya ke Piala Malaysia.

Begitupun, tuan rumah patut menyalahkan pemainnya kerana tidak menjamin kemaraan yang lebih kukuh dengan memperoleh tiga mata penuh.

Anak buah Ken Worden ini dalam pada itu masih kebal daripada sebarang kekalahan sejak bertukar jurulatih bulan lalu.

Sabah menyudahkan penaltinya menerusi Mohd. Jaya Kassim, Moktar Dayoh, Jainin Tinin dan Henry Soimpon.

Sementara tiga jaringan penalti Pulau Pinang dilakukan oleh S. Nanthakumar, Chee Wan Hoe dan penjaga golnya, Azlisham Berahim.

Brunei pula menghidupkan peluangnya yang hampir tertutup untuk mara ke Piala Malaysia dengan menundukkan juara tahun lalu, Perak 5-2 di Stadium Berakas, Bandar Seri Begawan.

Tuan rumah yang mendahului pada babak pertama 4-2 beroleh dua jaringan melalui Patron Akapo (minit kelapan dan 41) dan Rosanan Samak (22 dan 51) selain satu menerusi Rosli Liman (40).

Perak bagaimanapun sempat merapatkan jurang dengan dua gol menerusi Liew Kit Kong pada minit keenam dan Azrul Amri Burhan, minit ke-37.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RqIl8tkK © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabah buru impian


 

ARKIB : 02/06/1999
PEMAIN Kelantan, Mohd. Saiful Nizam (kanan) cuba menghalang kemaraan pemain Terengganu, Wan Ahmad Ridzuan pada perlawanan suku akhir kedua bola sepak Piala FA di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, semalam. Terengganu menang 2-1.

NAIB juara lalu, Sabah terus unggul untuk memburu gelaran bola sepak Piala FA setelah mengetepikan Kedah secara agregat 4-1 semalam.

Dengan mencatat seri 1-1 pada suku akhir kedua di Stadium Darulaman, Alor Setar itu, Sabah melenyapkan sisa-sisa impian Kedah yang telah pun tewas 0-3 ketika perlawanan pertama di Kota Kinabalu.

Kemaraan ke separuh akhir turut menjadi hadiah buat jurulatih Ken Worden dari Australia yang baru membimbing skuad Badak dalam tiga perlawanan termasuk saingan Perdana Satu.

Bagi separuh akhir nanti, Sabah perlu menanti pemenang satu lagi suku akhir kedua antara Kuala Lumpur dengan Sarawak yang hanya akan bermain hari ini.

Pelawat yang hanya memerlukan seri, membuka gol menerusi Mohd. Jaya Kasim pada minit ke-15 sebelum Cheah Kean Seng menyamakan kedudukan untuk tuan rumah, dua minit kemudian.

Kedah yang tertekan di hadapan penyokong sendiri, bermula dengan garang walaupun mengalami kesukaran untuk menembusi kekentalan pertahanan pelawat.

Pasukan Badak yang bermain dengan bersahaja bagaimanapun mampu merentap lamunan Kedah apabila berjaya menembusi gawang Kenari untuk memperkukuhkan lagi kedudukan pada minit ke-15.

Gol berpunca daripada Mohd. Jaya yang menerima hantaran dari David Rocastle untuk melakukan satu sepakan kencang dari jarak 30 meter untuk menewaskan penjaga gol Kedah, Mohd. Amran Omar.

Kedah yang tersentak dengan gol itu bagaimanapun tidak berputus asa untuk merapatkan jurang gol dengan melakukan satu serangan balas terhadap lawan.

Usaha itu berhasil apabila Cheah Kean Seng berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-17 melalui satu sepakan kencang dari jarak yang sama untuk menewaskan Khairul Azman Mohamad.

Sabah sekali lagi mencemaskan keadaan apabila sepakan gunting David Rocastle terkena palang selepas menerima hantaran dari sepakan sudut pada minit ke-38.

Sekalipun semakin yakin untuk mengecapi kemenangan, kerakusan kesebelasan anak buah Ken Worden untuk menambah jaringan terserlah pada minit ke-57 apabila sepakan leret David Rocastle berjaya ditampan olehnya Mohd. Amran.

Kedah terus menggandakan usaha untuk mencipta keajaiban dengan memasukkan beberapa pemain termasuk Wirat Nom dan Mohd. Izham Abas namun benteng pertahanan Sabah tetap utuh buat Kedah untuk ditembusi.

Terengganu turut melangkah ke separuh akhir apabila mencatat kemenangan selesa secara agregat 4-1 ke atas negeri jiran, Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Semalam, Terengganu melengkapkan kemaraannya itu selepas membenam tuan rumah 2-1 dalam perlawanan yang dikuasai penuh oleh pelawat.

Terengganu tampak lebih bersemangat biarpun memiliki bekal yang agak selesa dari suku akhir pertama lalu setelah menang 2-0 di Kuala Terengganu.

Sedangkan tuan rumah sering hilang punca dengan hantaran sesama pemain terlepas begitu sahaja tanpa tindakan susulan yang mendatangkan faedah.

Selepas 10 minit permainan, pemain Terengganu, Rosli Omar melakukan percubaan sulung untuk menguji penjaga gol Kelantan, Halim Napi.

Mujur sepakan kencangnya dari luar petak penalti tersasar beberapa inci dari tiang gol tetapi aksi asakan Terengganu bertambah hangat selepas itu.

Kesungguhan pelawat melancar serangan berbalas pada minit ke-40 dengan keghairahan Halim menghukum skuad Kijang apabila cuba bersaing dalam perebutan bola dengan pemain lawan, Mohd. Nor Derus.

Menggunakan tipu helahnya untuk memerangkap Halim, Mohd. Nor terus mengumpan kepada Sapian Wahid untuk menolak masuk dengan mudah sekali gus membawa Terengganu mendahului 1-0.

Kelantan sebaliknya baru bersemangat setelah menerima kejutan gol lawan lalu menerusi gerakan yang bersefahaman, berjaya menyamakan kedudukan.

Berpunca daripada Tan Cheng Hoe, tandukannya tiba ke kepala Nidzam Adzha Yusof yang mengumpan pula kepada Roslisham Mohd. Noor, tiga minit selepas ketinggalan 0-1.

Roslisham akhirnya menyudahi gerakan tersusun itu dengan sepakan masuk bagi merapatkan jurang gol secara agregat.

Bagaimanapun, Terengganu enggan berpuas hati dengan keputusan seri dan masih mahu mencari gol tambahan dan memperolehnya menerusi Mohd. Nafuzi Zin yang menggantikan Sapian.

Hasilnya, minit ke-78 merakamkan gol kemenangan pelawat itu apabila Nafuzi, bekas pemain Olimpik 2000 itu menyudahkan hantaran lintang Badrul Hisham Abdullah dari sebelah kiri gawang Kelantan.

Dengan keputusan itu, Terengganu akan menentang Negeri Sembilan pada separuh akhir pertama, 15 Jun ini.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Negeri Sembilan mengiringi Sabah dan Terengganu ke separuh akhir selepas menang bergaya 3-1 ke atas Pahang.

Skuad Rusa yang berbekal tiga jaringan hasil perlawanan pertama di Paroi, meneruskan kemenangan kali ketiga berturut-turut ke atas Pahang untuk mara ke separuh akhir dengan agregat 6-1.

Negeri Sembilan yang membawa bekalan selesa ke Kuantan, bermain dengan tenang sementara Pahang jelas tertekan walaupun bermain di gelanggang sendiri.

Pahang yang cuba menghidupkan peluang untuk melangkah ke separuh akhir Piala FA, cuba melakukan serangan awal tetapi banyak percubaan tidak langsung menggugat pintu gol Rusa.

Sebaliknya, Negeri Sembilan yang sekali-kali menyerang bertindak garang dan hampir menghasilkan gol melalui Zami Mohd. Nor pada minit ke-23, namun tandukannya tersasar walaupun pintu sudah terbuka luas. Skuad Rusa itu bagaimanapun tidak menunggu lama untuk mendapatkan jaringan sekali gus melebarkan jurang agregat apabila berjaya memperoleh gol pertama melalui tendangan Leong Hong Seng seminit selepas itu.

Leong yang melarikan bola ke sebelah kiri padang, melepasi beberapa pemain pertahanan Pahang, membuat sepakan lambung untuk menewaskan Zuraimi Hassan.

Penyerang kebangsaan, Zami meneruskan malam gemilang Negeri Sembilan dengan gol kedua pada minit 36 apabila menyambar bola yang melantun terkena tiang hasil percubaan jarak jauh Azmi Mohamed.

Pahang yang cuba bangkit, jelas gagal menyaingi Negeri Sembilan, sebaliknya skuad Rusa itu terus berpesta gol dan menambah jaringan pada minit ke-42, hasil jaringan Rezal Hassan.

Perlawanan pada babak kedua berlangsung hambar dengan skuad Negeri Sembilan lebih gemar bertahan, sementara penyerang Pahang terus tenggelam punca untuk mencari gol.

Bagaimanapun, kelekaan barisan pertahanan Negeri Sembilan, menyebabkan gawang mereka bocor hasil jaringan Wan Rohaimi Ismail pada minit-51 untuk gol sagu hati Pahang.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RpiEBNbb © Utusan Melayu (M) Bhd

3 pasukan belum terjamin Piala FA

ARKIB : 01/06/1999
BAYANGAN ke separuh akhir bola sepak Piala FA semakin menghampiri tiga pasukan yang sudah berbekalkan modal besar namun jurulatih masing-masing sewajarnya merasa bimbang sebelum berakhir suku akhir kedua malam ini.

Sabah, Negeri Sembilan dan Terengganu beroleh kemenangan memberangsangkan dalam suku akhir pertama tetapi keputusan boleh menjadi sebaliknya jika ketiga-tiga pasukan memandang rendah keupayaan lawan.

Walaupun menang 3-0 ke atas Kedah di Stadium Likas, bekalan besar itu seharusnya menjadi penyemarak Sabah untuk beraksi mantap dalam suku akhir kedua di kubu kuat lawan, di Stadium Darulaman, bukannya terlalu yakin.

Lihat sahaja bagaimana Manchester United yang ketinggalan boleh bangkit mencapai kemenangan 2-1, hasil jaringan masa kecederaan bagi merebut Piala Eropah.

Sentuhan jurulatih baru Ken Worden diperlukan untuk Sabah sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri bagi meneruskan langkah ke separuh akhir selepas membuktikan kemahirannya dalam membawa kejayaan suku akhir pertama.

Begitu juga Negeri Sembilan yang mencipta kemenangan 3-0 ke atas Pahang perlu berwaspada apabila bertandang ke Stadium Darulmakmur malam ini.

Agregat 3-0 masih belum menjamin, sekadar melegakan Negeri Sembilan yang seharusnya mempunyai kelebihan tersebut untuk menyekat Pahang.

Bagaimanapun, skuad ''Rusa'' perlu memastikan pertahanannya berupaya untuk menyekat dua tonggak berbahaya Pahang, Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi Ismail yang serasi bergandingan bagi membantu Pahang memperoleh seberapa banyak jaringan musim ini.

Pertarungan antara Terengganu dengan Kelantan juga bakal menyaksikan saingan sengit selepas skuad ''Penyu'' mencipta kemenangan 2-0 di gelanggang sendiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pastinya, timbal balik di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, Kota Bharu sudah pasti mendorong ''anak-anak buah'' jurulatih Mosthakeen Omar untuk bangkit mencari kelebihan jaringan buat menempah tiket ke separuh akhir Piala FA.

Pertembungan di Kota Bharu bukan semudah dijangka kerana memerlukan komitmen sepenuhnya daripada ''bala tentera'' jurulatih Yunus Alif meskipun berbekalkan kelebihan 2-0.

Berbanding Sabah, Negeri Sembilan dan Kelantan, lain pula perlawanan esok kerana Sarawak terpaksa berhempas pulas untuk menghadapi Kuala Lumpur selepas mencapai kemenangan tipis 1-0 dalam pusingan pertama.

Pasukan tanpa bintang yang dibimbing jurulatih Mat Zan Mat Aris dibarisi pemain muda, mempunyai semangat tinggi untuk menghalang hajat Sarawak ke separuh akhir.

Ternyata, kesemua perlawanan memerlukan komitmen sepenuhnya daripada pasukan bertanding kerana tidak ada jalan pintas ke ke separuh akhir Piala FA, hanya aksi malam ini dan esok yang bakal menjadi penentu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Rmz3UcbG © Utusan Melayu (M) Bhd

Perdana Satu -- Moktar selamatkan maruah Sabah

ARKIB : 24/05/1999
JARINGAN Moktar Dayoh pada minit terakhir permainan menjadi penyelamat buat Sabah daripada terus terperosok di tangga tercorot apabila menewaskan Negeri Sembilan 3-2 pada perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Likas, semalam.

Begitupun, beraksi di tempat sendiri tidak memberi banyak kelebihan buat Sabah yang dikekang hebat oleh Negeri Sembilan untuk memastikan kedudukan tanpa jaringan sehingga tamat masa pertama.

Begitupun, penantian tuan rumah berakhir apabila Harry Saimpon yang mendapat peluang terbaik menyumbat masuk gol pertama pada minit ke-63.

Jaringan itu tidak mematahkan semangat Negeri Sembilan yang berjaya menyamakan kedudukan melalui penyerang berbisanya, Zami Mohd. Noor, tiga minit kemudian.

Sabah bagaimanapun kembali mendahului apabila Herry sekali lagi berjaya membolosi gawang lawan pada minit ke-85, sebelum Tuan Kamree Tuan Yahya memastikan kedudukan 2-2 pada minit ke-88.

Bagaimanapun, hasrat Negeri Sembilan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata akhirnya lebur apabila Moktar menyumbat masuk gol kemenangan tuan rumah pada minit ke-90.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RltfHy59 © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 2 Disember 2016

Nasib berbeza dua bekas juara Piala FA

ARKIB : 06/05/1999
SATU mara, satu terkandas - gambaran nasib yang berbeza mengiringi juara bertahan, Johor dan naib juara tahun lalu, Sabah selepas meninggalkan pusingan kedua bola sepak Piala FA kelmarin, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Sedang Johor tersungkur akibat jaringan emas pemain Kelantan, Roslisham Mohd. Noor, Sabah pula cuma menggunakan bekalan kelebihan 2-1 dari Kota Kinabalu untuk mara ke suku akhir.

Bersama taktik bertahan selain ketumpulan jentera serangan Perlis kelmarin, Sabah, juara 1995, menghela nafas cukup panjang selepas mengikat 0-0 sekali gus meneruskan cabaran pada kejohanan edisi kesembilan ini.

Namun Johor dan Sabah sebenarnya senasib tentang kemelut jurulatih masing-masing yang melanda pasukan.

Juara bertahan kehilangan penolong jurulatihnya di pertengahan aksi Liga Perdana Dua manakala si naib juara terpaksa memecat Justin Ganai untuk memberi laluan kepada Ken Shellito.

Mujurlah tuah lebih gemar menyebelahi Sabah di balik kedudukan tercorot Perdana Satunya walaupun ujian Piala FA selepas ini bakal bertambah hebat dengan Kedah menantinya pada suku akhir.

Kedah, penghuni tingkat empat Perdana Satu, mengetuai senarai dua bekas juara FA lain - Sarawak dan Kuala Lumpur yang turut layak ke suku akhir.

Sebaliknya Perak, penyandang 1990 dan Selangor, johan 1991, '97 yang terkandas kelmarin gagal menyusuli langkahan bergaya itu.

Kedah, juara '96 bagaimanapun agak bernasib baik kelmarin kerana cuma menghadapi lawan bertaraf kelab, Telekom Melaka untuk menang dengan agregat 3-1 di tempat sendiri.

Sementara Sarawak, pemegang Piala FA 1992, bakal berdepan dengan Kuala Lumpur pada suku akhir yang tidak kurang hebatnya jika diambil kira kemampuan menjulang anugerah ketiga berprestij ini pada 1993 dan '94.

Kelmarin, Kuala Lumpur ternyata beroleh 'angin kedua' yang membantu memintas Melaka biarpun nyaris berputih mata dengan gol pendahuluan lawan di Stadium Kubu dan ketinggalan 1-2 dalam pusingan pertama di Cheras.

Terengganu tampak melangkah penuh yakin berdasarkan tiga pertemuan terbaru dengan Pulau Pinang dan langkah skuad Penyu ini kian panjang hingga turut mencecah suku akhir Piala FA.

Namun lawan yang menyaingi Terengganu ialah Kelantan, sekali gus ini bakal mencipta pertembungan dua negeri tetangga yang ditunggu-tunggu ribuan penyokong masing-masing.

Negeri Sembilan yang menyingkirkan NS Chempaka kelmarin untuk ke suku akhir pula akan berentap dengan Pahang - suatu pertemuan seimbang jika keputusan pusingan kedua dijadikan ukuran.

Masing-masing terkenal sebagai masih unggul di gelanggang sendiri dan pastinya percaturan strategi jurulatih Irfan Bakti dan Fuzzeimi Ibrahim, akan turut memainkan peranan besar dalam mempengaruhi keputusan suku akhir 18 Mei ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RjHSe6nW © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 11 November 2016

Khairul hampir pasti terus dengan Sabah

ARKIB : 06/01/1999
BEKAS penjaga gol kebangsaan, Khairul Azman Mohamad hampir pasti akan terus beraksi untuk Sabah musim ini walaupun beberapa pasukan lain cuba melamarnya, lapor HARON SHAFEI.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA), Datuk Anifah Aman berkata, walaupun Khairul kini sudah tidak mempunyai ikatan kontrak dengan Sabah FA, pemain itu telah menyatakan kesediaannya untuk terus beraksi bersama pasukan Sabah musim ini.

''Selepas persaingan Piala Malaysia tamat musim lalu (1998) Khairul sendiri telah bercakap dengan saya bahawa dia ingin terus berkhidmat dengan Sabah musim ini,'' katanya.

Anifah berkata, belum ada ikatan kontrak baru dengan Khairul dilakukan setakat ini kerana Sabah FA masih menunggu ketetapan muktamad Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap format pertandingan musim ini.

Sabah FA dijangka hanya akan membuat ikatan kontrak dengan Khairul selepas mengetahui ketetapan format pertandingan tahun ini yang dijangka akan diketahui minggu depan.

Johor dan Brunei adalah antara pasukan yang dilaporkan oleh beberapa akhbar kebangsaan dan tempatan berminat mendapatkan khidmat bekas penjaga gol kebangsaan yang tekah menabur bakti dengan Sabah sejak 1994.

Adalah dijangkakan bahawa tidak ada perubahan besar dilakukan dalam skuad Sabah musim ini kerana selain Khairul pemain lain masih mempunyai ikatan kontrak dengan Sabah FA.

Bagaimanapun, gambaran jelas mengenai persiapan Sabah hanya diketahui selepas ia dibincangkan dalam mesyuarat Sabah FA yang dijangka diadakan selepas Hari Raya Puasa nanti.

''Kita akan membincangkan semua aspek aspek dalam mesyuarat Sabah FA selepas Hari Raya ini termasuklah dari segi pembentukan pasukan, jurulatih dan pengurusan,'' katanya.

Mengenai kedudukan jurulatih, beliau berkata, pada dasarnya Sabah FA masih mahu dan sudah bersetuju dengan permohonan Ken Shellito melanjutkan khidmat membimbing pasukan Sabah.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PhVfdLz2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 7 November 2016

Sabah gagah, Penyu tak gelabah

ARKIB : 18/11/1998
SABAH tentu mempunyai banyak kelebihan beraksi dengan baik ketika melayani Terengganu di depan penonton sendiri pada separuh akhir pertama bola sepak Piala Malaysia, Sabtu ini.

Namun ia tidak sekali-kali menjejaskan semangat skuad penyu meskipun mereka yang terpaksa menyeberangi Laut China Selatan untuk memburu impian beraksi pada perlawanan akhir di Bukit Jalil, nanti.

Skuad Penyu yang akan menurunkan kesemua pemain utama kecuali Sapian Wahid yang masih cedera, pasti akan menggegarkan Stadium Likas untuk memenuhi matlamat kedua mereka - menempah tempat ke perlawanan akhir sesudah impian pertama mereka dipenuhi.

Apa yang penting, beberapa kelemahan lalu sehingga memaksa pasukan bimbingan jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim itu menerima padah kesan kekalahan perlu diperbaiki segera.

Kelemahan itu jelas ketara sewaktu perlawanan terakhir kumpulan apabila Terengganu tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan di gelanggang sendiri.

Suntikan semangat baru yang menjadi, terutama kejayaan Terengganu memasuki peringkat separuh akhir Piala Malaysia sudah tentu menyaksikan corak aksi menarik dan permainan yang lebih tersusun.

Luka lama berikutan kekalahan di tangan Negeri Sembilan di Kuala Terengganu tempoh hari harus dilupakan sebaliknya menganggapnya sebagai pengajaran untuk kebangkitan semangat juang baru yang lebih bersungguh-sungguh.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, beliau setakat ini berpuas hati dengan perkembangan kesebelasan utama skuad Terengganu menjelang pertarungan pertama separuh akhir Sabtu ini.

Menurutnya, para pemain ketika ini berada pada tahap kecergasan yang memuaskan dan mereka sedang giat menjalani latihan bagi menghadapi Sabah di Kota Kinabalu.

''Saya masih mengadakan perbincangan demi perbincangan dengan jurulatih untuk memperkemaskan lagi pasukan.

''Sementara susunan para pemain setakat ini belum lagi diputuskan dan ia mungkin dibuat beberapa hari terakhir menjelang perlawanan,'' katanya di Kuala Terengganu semalam.

Che Mat ketika mengulangi pengesahannya berkata, Azman Ismail, Wan Ahmad Ridzuan dan penjaga gol Zubir Ibrahim akan turut memikul tanggungjawab memastikan keputusan perlawanan menggembirakan Terengganu.

Oleh: RADHUAN HUSSAIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PKNttFvq © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 6 November 2016

Sabah layak ke separuh akhir

ARKIB : 08/11/1998
JARINGAN hat trick pemain import, Saphou Lassy memastikan Sabah mara ke separuh akhir bola sepak Piala Malaysia selepas berpesta gol dengan menewaskan saingan terdekat Brunei 6-0 dalam perlawanan kumpulan B di Stadium Likas, semalam.

Naib juara Piala FA musim ini itu menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri dengan kecemerlangan pemain dari Gabon meledakkan jaringan hat trick pada minit ke-22, 53, 70.

Henry Soimpon turut meletakkan namanya dalam senarai penjaring apabila menyumbat masuk gol ketiga pada minit ke-41 sebelum kesilapan pertahanan Brunei, Liew Chuan Fue menyumbat masuk ke gawang sendiri untuk gol kelima pada minit ke-82 dan jaringan terakhir Suharmin Yusof pada minit ke-90.

Kejayaan ini menebus kembali kegagalan Sabah musim lalu yang gagal menempatkan diri ke separuh akhir.

Buat Brunei peluang mereka untuk ke separuh akhir masih ada dan hanya perlawanan terakhir menentang Perak di gelanggang sendiri Sabtu ini memerlukan keputusan menang bagi mengikut jejak langkah Sabah.

Kemenangan ini memastikan Sabah memungut 16 mata manakala Brunei masih kekal dengan 11 mata. Sabah sudahpun menamatkan saingan di peringkat kumpulan.

Kecemerlangan Lassy jelas menjadi tarikan menolak masuk gol pertama pada minit ke-22.

Brunei yang tertekan dengan gol awal itu cuba mengatur gerakan namun Lassy sekali lagi menggamatkan Stadium Likas dengan gol peribadi keduanya pada minit ke-53.

Dua gol itu menyemarakkan anak buah Ken Shelito yang terus memperkukuhkan kedudukan menerusi sepakan kencang Henry pada minit ke-41.

Begitupun Sabah memperoleh sepakan penalti namun Lassy gagal menyempurnakan sepakan itu.

Bagaimanapun dia menebus kembali kegagalan itu apabila meledakkan jaringan hat trick menutup terus kehebatan Brunei dalam usaha mencari kemenangan.

Sabah terus mengasak pada minit terakhir sehingga Brunei tertekan dan melepaskan dua lagi gol dalam tempoh 10 minit terakhir menerusi kesilapan Chuan Fue pada minit ke-82 dan jaringan Suharmin minit ke-90.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PDadcSTZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 1 November 2016

Sabah ganyang Pahang

ARKIB : 07/10/1998
SABAH menang bergaya apabila menewaskan Pahang 4-1 pada perlawanan kumpulan B bola sepak Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam, lapor HARON SHAFEI.

Gol pertama Sabah diperoleh pada minit ke-23 separuh masa pertama hasil sepakan pemain importnya, Veselin Kovasevic yang menerima hantaran cantik Yap Wai Loon di luar kawasan petak penalti.

Gol kedua Sabah diperoleh melalui pemain import Sabah, Saphou Lassy pada minit ke-30 separuh masa pertama setelah menerima hantaran lintang yang dibuat oleh Mokhtar Dayoh di luar petak penalti.

Sabah menghasilkan gol ketiga menerusi Saphou Lassy hasil hantaran Suharmin di luar kawasan petak penalti pada minit ke-67.

Dalam kerancakan pasukan Sabah mengatur serangan bertubi-tubi ke kubu pasukan Pahang, pemain import Pahang, Melnikov Viatcheslav berjaya mencuri ruang pada minit ke-81 apabila menghukum kelalaian pertahanan Sabah dengan menyepak masuk bola menewaskan penjaga gol, Khairul Azman Mohamad.

Sorakan hampir 6,000 penonton bergema lagi apabila Saphou sekali lagi bertindak cemerlang menyumbat gol keempat Sabah pada minit ke-83.

Saphou yang dijatuhkan oleh pemain import Pahang, Kofi Ampiah dalam petak penalti telah mendapat sepakan percuma. Bagaimanapun sepakannya dapat ditampan penjaga gol Muadzar Mohamad.

Saphou yang tidak membuang masuk terus menyepak bola masuk ke dalam pintu gol Pahang. Kofi yang bertindak kasar ke atas Saphou telah menerima kad kuning dari pengadil.

Pemain-pemain Pahang yang diketuai Azizul Kamaludin telah cuba bangkit membuat serangan bertubi-tubi ke kawasan pertahanan Sabah tetapi serangan mereka berjaya dikekang oleh pemain pertahanan Sabah.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4OlG2RGeA © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 14 September 2016

Kelebihan banyak memihak pada Sabah

ARKIB : 15/08/1998
SABAH mempunyai kelebihan untuk memastikan kejayaan, namun Johor yang hadir sebagai pasukan pelawat pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Likas, malam ini pasti menjanjikan saingan sengit.

Sabah yang pernah muncul juara Piala FA pada tahun 1995 dengan menumpaskan Pahang 3-1, ternyata lebih berpengalaman berbanding Johor yang pertama kali beraksi pada perlawanan akhir Piala FA ini.

Ini merupakan kali keempat Sabah beraksi pada perlawanan akhir. Mereka kecundang kepada Kuala Lumpur pada perlawanan akhir 1993 dan 1994.

Soalnya, mampukah Sabah mengikut jejak langkah Kuala Lumpur menjulang Piala FA sebanyak dua kali dan bolehkah, Johor menjadi pasukan keenam dinobatkan selaku juara selepas Selangor, Perak, Kedah, Kuala Lumpur dan Sabah.

Jurulatih Sabah, Ken Shellito sudah pasti menggunakan kesempatan yang ada untuk mencatatkan kemenangan di tempat sendiri.

Andainya ini menjadi kenyataan, Sabah pastinya lebih bersemangat untuk memburu juara berganda - Piala Malaysia 1998.

Ini merupakan kali pertama Sabah dan Johor bertemu selepas Johor turun ke Perdana Dua.

Johor turut memburu juara kerana ini merupakan pertama kali mereka layak ke perlawanan akhir Piala FA.

Johor yang tidak melayakkan diri ke Piala Malaysia selepas tercicir pada perlawanan play off menentang Kuala Lumpur dengan keputusan agregat 1-2, pasti menjadikan perlawanan malam ini begitu penting.

Tugas yang begitu penting, pastinya dari jurulatih, Steve Darby dalam usaha memulihkan semangat pemain.

Sabah yang dibarisi pemain taruhan, David Rocastle pasti dilihat lebih bertenaga apabila digandingkan dengan Yap Wai Loon dan Abdullah Awang Adi, pasti menggugat barisan pertahanan Johor.

Selain itu, Khairul Azman Mohamad yang disandarkan sebagai penyelamat gawang akan dibantu pemain pertahanan, Vecelin Kovacevic.

Jika Sabah kental dengan jentera penggempur Rocastle dan Yap, maka Johor turut gah di bahagian sama dengan menurunkan bekas pemain negara, Rizal Sukiman, Idris Karim dan pemain import Milan Blagojevic.

Walaupun Sabah, mampu menyerang, Johor mempunyai sebab kukuh untuk bertahan dengan kelicikan Darren Stewart, selain dibantu Azmil Azali.

Oleh: DAUD GHANI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4KFOQk75A © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 13 September 2016

Sabah-Johor ke final

ARKIB : 05/08/1998
SABAH dan Johor akan menentukan juara bola sepak Piala FA pada 15 Ogos ini selepas masing-masing mencatat kemenangan pada perlawanan separuh akhir kedua, malam tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah mempamerkan satu daripada permainan terbaiknya musim ini apabila membelasah Kedah 5-1.

Dengan kemenangan itu, Sabah yang pernah menjadi juara 1995 mara ke perlawanan akhir menerusi agregat 5-2.

Pada pertemuan pertama minggu lalu, Sabah tewas 0-1 kepada Kedah.

Johor pula menewaskan Kuala Lumpur 2-1 dalam satu lagi perlawanan di Johor Bahru.

Gol-gol Sabah dijaringkan Veselin Kovacevic melalui sepakan penalti pada minit ke-23 diikuti gol David Rocastle (61), Mohd Jaya Kasim (65, 75) dan Suharmin Yusof pada minit ke-78.

Gol tunggal Kedah dijaringkan pemain import Andre Luis Nascimento pada minit ke-52 melalui sepakan penalti.

Sabah yang kelihatan bersungguh-sungguh untuk menaikkan semula nama mereka dalam arena bola sepak tempatan selepas persembahan kurang bermaya di peringkat Liga Perdana, memulakan asakan sebaik sahaja permainan bermula dan menguasai sebahagian besar permainan malam ini.

Sabah mendapat peluang seawal minit keempat melalui hantaran lintang Jainin Tinin, tetapi Yap Wai Loon yang mendapat bola di hadapan gol gagal menewaskan S. Ragesh.

Sabah sekali lagi mendapat peluang lapan minit kemudian tetapi Mohd Jaya Kassim, yang mendapat hantaran lintang daripada Jainin, juga gagal menewaskan penjaga gol Kedah.

Sabah akhirnya mendapat gol yang dicari-cari pada minit ke-23 melalui sepakan penalti Kovacevic apabila Jaya dikasari, sekali gus menyamakan agregat 1-1.

Separuh masa kedua menyaksikan serangan Kedah lebih tersusun dan berhasil mendapatkan gol melalui sepakan penalti Nascimento selepas Nidzam Adzha dikasari di dalam kotak penalti pada minit ke-52.

Kedah terpaksa bermain 10 orang selepas Roslan Abdul Rahim diperintah keluar padang pada minit ke-60 dan ini memberi ruang kepada Sabah untuk bergerak lebih selesa ketika melancarkan serangan.

Gol kedua Sabah muncul pada minit ke-61 melalui sepakan penalti apabila David Rocastle dikasari. Sepakan yang diambil Kovacevic melantun daripada dakapan S. Ragesh dan terus disambar Rocastle.

Jaya muncul wira Sabah apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh 10 minit hasil serangan pantas yang dilakukan Sabah sebelum Suharmin Yusof melengkapkan kemenangan Sabah dengan gol pada minit ke-78. - Bernama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4KD4uzzmb © Utusan Melayu (M) Bhd