Jumaat, 11 November 2016

Khairul hampir pasti terus dengan Sabah

ARKIB : 06/01/1999
BEKAS penjaga gol kebangsaan, Khairul Azman Mohamad hampir pasti akan terus beraksi untuk Sabah musim ini walaupun beberapa pasukan lain cuba melamarnya, lapor HARON SHAFEI.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA), Datuk Anifah Aman berkata, walaupun Khairul kini sudah tidak mempunyai ikatan kontrak dengan Sabah FA, pemain itu telah menyatakan kesediaannya untuk terus beraksi bersama pasukan Sabah musim ini.

''Selepas persaingan Piala Malaysia tamat musim lalu (1998) Khairul sendiri telah bercakap dengan saya bahawa dia ingin terus berkhidmat dengan Sabah musim ini,'' katanya.

Anifah berkata, belum ada ikatan kontrak baru dengan Khairul dilakukan setakat ini kerana Sabah FA masih menunggu ketetapan muktamad Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap format pertandingan musim ini.

Sabah FA dijangka hanya akan membuat ikatan kontrak dengan Khairul selepas mengetahui ketetapan format pertandingan tahun ini yang dijangka akan diketahui minggu depan.

Johor dan Brunei adalah antara pasukan yang dilaporkan oleh beberapa akhbar kebangsaan dan tempatan berminat mendapatkan khidmat bekas penjaga gol kebangsaan yang tekah menabur bakti dengan Sabah sejak 1994.

Adalah dijangkakan bahawa tidak ada perubahan besar dilakukan dalam skuad Sabah musim ini kerana selain Khairul pemain lain masih mempunyai ikatan kontrak dengan Sabah FA.

Bagaimanapun, gambaran jelas mengenai persiapan Sabah hanya diketahui selepas ia dibincangkan dalam mesyuarat Sabah FA yang dijangka diadakan selepas Hari Raya Puasa nanti.

''Kita akan membincangkan semua aspek aspek dalam mesyuarat Sabah FA selepas Hari Raya ini termasuklah dari segi pembentukan pasukan, jurulatih dan pengurusan,'' katanya.

Mengenai kedudukan jurulatih, beliau berkata, pada dasarnya Sabah FA masih mahu dan sudah bersetuju dengan permohonan Ken Shellito melanjutkan khidmat membimbing pasukan Sabah.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PhVfdLz2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan