Sabtu, 3 Disember 2016

Sabah buru impian


 

ARKIB : 02/06/1999
PEMAIN Kelantan, Mohd. Saiful Nizam (kanan) cuba menghalang kemaraan pemain Terengganu, Wan Ahmad Ridzuan pada perlawanan suku akhir kedua bola sepak Piala FA di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, semalam. Terengganu menang 2-1.

NAIB juara lalu, Sabah terus unggul untuk memburu gelaran bola sepak Piala FA setelah mengetepikan Kedah secara agregat 4-1 semalam.

Dengan mencatat seri 1-1 pada suku akhir kedua di Stadium Darulaman, Alor Setar itu, Sabah melenyapkan sisa-sisa impian Kedah yang telah pun tewas 0-3 ketika perlawanan pertama di Kota Kinabalu.

Kemaraan ke separuh akhir turut menjadi hadiah buat jurulatih Ken Worden dari Australia yang baru membimbing skuad Badak dalam tiga perlawanan termasuk saingan Perdana Satu.

Bagi separuh akhir nanti, Sabah perlu menanti pemenang satu lagi suku akhir kedua antara Kuala Lumpur dengan Sarawak yang hanya akan bermain hari ini.

Pelawat yang hanya memerlukan seri, membuka gol menerusi Mohd. Jaya Kasim pada minit ke-15 sebelum Cheah Kean Seng menyamakan kedudukan untuk tuan rumah, dua minit kemudian.

Kedah yang tertekan di hadapan penyokong sendiri, bermula dengan garang walaupun mengalami kesukaran untuk menembusi kekentalan pertahanan pelawat.

Pasukan Badak yang bermain dengan bersahaja bagaimanapun mampu merentap lamunan Kedah apabila berjaya menembusi gawang Kenari untuk memperkukuhkan lagi kedudukan pada minit ke-15.

Gol berpunca daripada Mohd. Jaya yang menerima hantaran dari David Rocastle untuk melakukan satu sepakan kencang dari jarak 30 meter untuk menewaskan penjaga gol Kedah, Mohd. Amran Omar.

Kedah yang tersentak dengan gol itu bagaimanapun tidak berputus asa untuk merapatkan jurang gol dengan melakukan satu serangan balas terhadap lawan.

Usaha itu berhasil apabila Cheah Kean Seng berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-17 melalui satu sepakan kencang dari jarak yang sama untuk menewaskan Khairul Azman Mohamad.

Sabah sekali lagi mencemaskan keadaan apabila sepakan gunting David Rocastle terkena palang selepas menerima hantaran dari sepakan sudut pada minit ke-38.

Sekalipun semakin yakin untuk mengecapi kemenangan, kerakusan kesebelasan anak buah Ken Worden untuk menambah jaringan terserlah pada minit ke-57 apabila sepakan leret David Rocastle berjaya ditampan olehnya Mohd. Amran.

Kedah terus menggandakan usaha untuk mencipta keajaiban dengan memasukkan beberapa pemain termasuk Wirat Nom dan Mohd. Izham Abas namun benteng pertahanan Sabah tetap utuh buat Kedah untuk ditembusi.

Terengganu turut melangkah ke separuh akhir apabila mencatat kemenangan selesa secara agregat 4-1 ke atas negeri jiran, Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Semalam, Terengganu melengkapkan kemaraannya itu selepas membenam tuan rumah 2-1 dalam perlawanan yang dikuasai penuh oleh pelawat.

Terengganu tampak lebih bersemangat biarpun memiliki bekal yang agak selesa dari suku akhir pertama lalu setelah menang 2-0 di Kuala Terengganu.

Sedangkan tuan rumah sering hilang punca dengan hantaran sesama pemain terlepas begitu sahaja tanpa tindakan susulan yang mendatangkan faedah.

Selepas 10 minit permainan, pemain Terengganu, Rosli Omar melakukan percubaan sulung untuk menguji penjaga gol Kelantan, Halim Napi.

Mujur sepakan kencangnya dari luar petak penalti tersasar beberapa inci dari tiang gol tetapi aksi asakan Terengganu bertambah hangat selepas itu.

Kesungguhan pelawat melancar serangan berbalas pada minit ke-40 dengan keghairahan Halim menghukum skuad Kijang apabila cuba bersaing dalam perebutan bola dengan pemain lawan, Mohd. Nor Derus.

Menggunakan tipu helahnya untuk memerangkap Halim, Mohd. Nor terus mengumpan kepada Sapian Wahid untuk menolak masuk dengan mudah sekali gus membawa Terengganu mendahului 1-0.

Kelantan sebaliknya baru bersemangat setelah menerima kejutan gol lawan lalu menerusi gerakan yang bersefahaman, berjaya menyamakan kedudukan.

Berpunca daripada Tan Cheng Hoe, tandukannya tiba ke kepala Nidzam Adzha Yusof yang mengumpan pula kepada Roslisham Mohd. Noor, tiga minit selepas ketinggalan 0-1.

Roslisham akhirnya menyudahi gerakan tersusun itu dengan sepakan masuk bagi merapatkan jurang gol secara agregat.

Bagaimanapun, Terengganu enggan berpuas hati dengan keputusan seri dan masih mahu mencari gol tambahan dan memperolehnya menerusi Mohd. Nafuzi Zin yang menggantikan Sapian.

Hasilnya, minit ke-78 merakamkan gol kemenangan pelawat itu apabila Nafuzi, bekas pemain Olimpik 2000 itu menyudahkan hantaran lintang Badrul Hisham Abdullah dari sebelah kiri gawang Kelantan.

Dengan keputusan itu, Terengganu akan menentang Negeri Sembilan pada separuh akhir pertama, 15 Jun ini.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Negeri Sembilan mengiringi Sabah dan Terengganu ke separuh akhir selepas menang bergaya 3-1 ke atas Pahang.

Skuad Rusa yang berbekal tiga jaringan hasil perlawanan pertama di Paroi, meneruskan kemenangan kali ketiga berturut-turut ke atas Pahang untuk mara ke separuh akhir dengan agregat 6-1.

Negeri Sembilan yang membawa bekalan selesa ke Kuantan, bermain dengan tenang sementara Pahang jelas tertekan walaupun bermain di gelanggang sendiri.

Pahang yang cuba menghidupkan peluang untuk melangkah ke separuh akhir Piala FA, cuba melakukan serangan awal tetapi banyak percubaan tidak langsung menggugat pintu gol Rusa.

Sebaliknya, Negeri Sembilan yang sekali-kali menyerang bertindak garang dan hampir menghasilkan gol melalui Zami Mohd. Nor pada minit ke-23, namun tandukannya tersasar walaupun pintu sudah terbuka luas. Skuad Rusa itu bagaimanapun tidak menunggu lama untuk mendapatkan jaringan sekali gus melebarkan jurang agregat apabila berjaya memperoleh gol pertama melalui tendangan Leong Hong Seng seminit selepas itu.

Leong yang melarikan bola ke sebelah kiri padang, melepasi beberapa pemain pertahanan Pahang, membuat sepakan lambung untuk menewaskan Zuraimi Hassan.

Penyerang kebangsaan, Zami meneruskan malam gemilang Negeri Sembilan dengan gol kedua pada minit 36 apabila menyambar bola yang melantun terkena tiang hasil percubaan jarak jauh Azmi Mohamed.

Pahang yang cuba bangkit, jelas gagal menyaingi Negeri Sembilan, sebaliknya skuad Rusa itu terus berpesta gol dan menambah jaringan pada minit ke-42, hasil jaringan Rezal Hassan.

Perlawanan pada babak kedua berlangsung hambar dengan skuad Negeri Sembilan lebih gemar bertahan, sementara penyerang Pahang terus tenggelam punca untuk mencari gol.

Bagaimanapun, kelekaan barisan pertahanan Negeri Sembilan, menyebabkan gawang mereka bocor hasil jaringan Wan Rohaimi Ismail pada minit-51 untuk gol sagu hati Pahang.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RpiEBNbb © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan