Khamis, 15 Disember 2016

Liga Perdana: Sabah dapat khidmat Woodfield

ARKIB : 07/02/2000
BEKAS jurulatih kelab Newcastle, David Woodfield dijangka akan dilantik sebagai jurulatih Sabah bagi menghadapi cabaran bola sepak Liga Perdana musim ini.

Woodfield, yang secara rasmi menamatkan kontraknya bersama Persatuan Bola Sepak Brunei selaku jurulatih pasukan belia negara itu dijangka tiba di Kota Kinabalu, Rabu ini untuk menandatangani kontrak dua tahun.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), Datuk Anifah Aman, yang mengesahkan perkara itu semalam berkata, perjanjian mengenainya dibuatkan minggu lalu dan menambah, Woodfield pada dasarnya telah menerima tawaran SAFA.

''Beliau bakal menjadi jurulatih baru Sabah. Kami hanya menunggu pengesahan secara rasmi menerusi dokumen,'' kata Anifah.

Woodfield, 55, pernah melatih beberapa pasukan di Asia Barat sebelum menerima tawaran di Brunei, selama tiga tahun.

Sabah terdesak mendapatkan khidmat jurulatih baru selepas gagal dalam usahanya mendapatkan khidmat seorang lagi jurulatih dari Britain, Steve Wicks.

Wicks, 42, sepatutnya tiba 16 Januari lalu dari London, tetapi gagal selepas menerima tawaran kontrak dua tahun bersama SAFA pada 10 Januari lalu.

Dalam perkembangan lain, Anifah menyambut baik penubuhan akademi bola sepak swasta di Sabah.

''Ia amat baik dalam usaha mencungkil bakat baru,'' katanya.

Bekas jurulatih Sabah, Kelly Tham, bekas ketua pasukan kebangsaan, Matlan Marjan dan bekas pemain import, Scott Ollerenshaw baru-baru ini menubuhkan Akademi Bola Sepak Milennium (ABM), akademi bola sepak swasta yang pertama di negara ini.

ABM menawarkan empat jenis program latihan untuk para peserta berusia antara enam dan 20 tahun. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SuOEELfc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan