ARKIB : 15/08/1998
SABAH mempunyai kelebihan untuk
memastikan kejayaan, namun Johor yang hadir sebagai pasukan pelawat pada
perlawanan akhir Piala FA di Stadium Likas, malam ini pasti menjanjikan saingan
sengit.
Sabah yang pernah muncul juara
Piala FA pada tahun 1995 dengan menumpaskan Pahang 3-1, ternyata lebih
berpengalaman berbanding Johor yang pertama kali beraksi pada perlawanan akhir
Piala FA ini.
Ini merupakan kali keempat
Sabah beraksi pada perlawanan akhir. Mereka kecundang kepada Kuala Lumpur pada
perlawanan akhir 1993 dan 1994.
Soalnya, mampukah Sabah
mengikut jejak langkah Kuala Lumpur menjulang Piala FA sebanyak dua kali dan
bolehkah, Johor menjadi pasukan keenam dinobatkan selaku juara selepas
Selangor, Perak, Kedah, Kuala Lumpur dan Sabah.
Jurulatih Sabah, Ken Shellito
sudah pasti menggunakan kesempatan yang ada untuk mencatatkan kemenangan di
tempat sendiri.
Andainya ini menjadi kenyataan,
Sabah pastinya lebih bersemangat untuk memburu juara berganda - Piala Malaysia
1998.
Ini merupakan kali pertama
Sabah dan Johor bertemu selepas Johor turun ke Perdana Dua.
Johor turut memburu juara
kerana ini merupakan pertama kali mereka layak ke perlawanan akhir Piala FA.
Johor yang tidak melayakkan
diri ke Piala Malaysia selepas tercicir pada perlawanan play off menentang
Kuala Lumpur dengan keputusan agregat 1-2, pasti menjadikan perlawanan malam
ini begitu penting.
Tugas yang begitu penting,
pastinya dari jurulatih, Steve Darby dalam usaha memulihkan semangat pemain.
Sabah yang dibarisi pemain
taruhan, David Rocastle pasti dilihat lebih bertenaga apabila digandingkan
dengan Yap Wai Loon dan Abdullah Awang Adi, pasti menggugat barisan pertahanan
Johor.
Selain itu, Khairul Azman
Mohamad yang disandarkan sebagai penyelamat gawang akan dibantu pemain
pertahanan, Vecelin Kovacevic.
Jika Sabah kental dengan
jentera penggempur Rocastle dan Yap, maka Johor turut gah di bahagian sama
dengan menurunkan bekas pemain negara, Rizal Sukiman, Idris Karim dan pemain
import Milan Blagojevic.
Walaupun Sabah, mampu
menyerang, Johor mempunyai sebab kukuh untuk bertahan dengan kelicikan Darren
Stewart, selain dibantu Azmil Azali.
Oleh: DAUD GHANI
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4KFOQk75A
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan