Sabtu, 3 Disember 2016

3 pasukan belum terjamin Piala FA

ARKIB : 01/06/1999
BAYANGAN ke separuh akhir bola sepak Piala FA semakin menghampiri tiga pasukan yang sudah berbekalkan modal besar namun jurulatih masing-masing sewajarnya merasa bimbang sebelum berakhir suku akhir kedua malam ini.

Sabah, Negeri Sembilan dan Terengganu beroleh kemenangan memberangsangkan dalam suku akhir pertama tetapi keputusan boleh menjadi sebaliknya jika ketiga-tiga pasukan memandang rendah keupayaan lawan.

Walaupun menang 3-0 ke atas Kedah di Stadium Likas, bekalan besar itu seharusnya menjadi penyemarak Sabah untuk beraksi mantap dalam suku akhir kedua di kubu kuat lawan, di Stadium Darulaman, bukannya terlalu yakin.

Lihat sahaja bagaimana Manchester United yang ketinggalan boleh bangkit mencapai kemenangan 2-1, hasil jaringan masa kecederaan bagi merebut Piala Eropah.

Sentuhan jurulatih baru Ken Worden diperlukan untuk Sabah sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri bagi meneruskan langkah ke separuh akhir selepas membuktikan kemahirannya dalam membawa kejayaan suku akhir pertama.

Begitu juga Negeri Sembilan yang mencipta kemenangan 3-0 ke atas Pahang perlu berwaspada apabila bertandang ke Stadium Darulmakmur malam ini.

Agregat 3-0 masih belum menjamin, sekadar melegakan Negeri Sembilan yang seharusnya mempunyai kelebihan tersebut untuk menyekat Pahang.

Bagaimanapun, skuad ''Rusa'' perlu memastikan pertahanannya berupaya untuk menyekat dua tonggak berbahaya Pahang, Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi Ismail yang serasi bergandingan bagi membantu Pahang memperoleh seberapa banyak jaringan musim ini.

Pertarungan antara Terengganu dengan Kelantan juga bakal menyaksikan saingan sengit selepas skuad ''Penyu'' mencipta kemenangan 2-0 di gelanggang sendiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pastinya, timbal balik di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, Kota Bharu sudah pasti mendorong ''anak-anak buah'' jurulatih Mosthakeen Omar untuk bangkit mencari kelebihan jaringan buat menempah tiket ke separuh akhir Piala FA.

Pertembungan di Kota Bharu bukan semudah dijangka kerana memerlukan komitmen sepenuhnya daripada ''bala tentera'' jurulatih Yunus Alif meskipun berbekalkan kelebihan 2-0.

Berbanding Sabah, Negeri Sembilan dan Kelantan, lain pula perlawanan esok kerana Sarawak terpaksa berhempas pulas untuk menghadapi Kuala Lumpur selepas mencapai kemenangan tipis 1-0 dalam pusingan pertama.

Pasukan tanpa bintang yang dibimbing jurulatih Mat Zan Mat Aris dibarisi pemain muda, mempunyai semangat tinggi untuk menghalang hajat Sarawak ke separuh akhir.

Ternyata, kesemua perlawanan memerlukan komitmen sepenuhnya daripada pasukan bertanding kerana tidak ada jalan pintas ke ke separuh akhir Piala FA, hanya aksi malam ini dan esok yang bakal menjadi penentu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Rmz3UcbG © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan