ARKIB : 18/04/2007
PENJAGA gol Sabah, Rosdin Wasli
(kanan) cekap menangkap bola rembatan pemain UPBMyTeam, Dejan Miljanic (dua
dari kiri) dalam saingan bola sepak Liga Perdana di Stadium Shah Alam, malam
tadi. Sabah menang 2-1. Gambar ASWAD YAHYA.
KUALA LUMPUR Sabah
membuktikan kemenangan 3-1 ke atas UPBMyTeam di tempat sendiri pada perlawanan
pusingan pertama, 30 Mac lalu bukan kerana nasib apabila menang lagi ke atas
pendahulu Liga Perdana itu di tempat lawan pula, semalam.
Pada perlawanan pusingan kedua
di Stadium Shah Alam yang menjadi gelanggang keramat UPBMyTeam, Sabah kali ini
menang tipis 2-1.
Dengan kejayaan itu, Sabah
menjadi satu-satunya pasukan yang tidak dapat dikalahkan UPBMyTeam musim ini
dalam saingan liga perdana setakat ini.
Pasukan tuan rumah yang
diuruskan Khairy Jamaluddin itu lebih dulu dikejutkan dengan gol pendahuluan
Sabah menerusi Mohd. Radzi Hussein pada minit ke-23.
Bagaimanapun UPBMyTeam
menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Marin Mikac pada minit ke-63.
Ketika perlawanan seakan
berkesudahan dengan keputusan seri, pemain import Sabah, Ijiebor Prince muncul
wira pasukannya apabila menjaringkan gol kemenangan dalam masa kecederaan.
Kekalahan UPBMyTeam itu
bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukannya sebagai pendahulu Liga Perdana
walaupun pencabar terdekat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menang 2-1 ke atas
Johor Pasir Gudang di Stadium Selayang, semalam.
UPBMyTeam kini memungut 24 mata
daripada 12 perlawanan manakala PDRM mengumpul 22 mata tetapi daripada 10
perlawanan.
Ini bermakna PDRM yang kurang
dua perlawanan berpeluang memintas UPBMyTeam jika terus mencatat kemenangan
selepas ini.
Dalam perlawanan di Stadium
KLFA, Cheras, tuan rumah, Kuala Lumpur menewaskan Kuala Muda Naza 3-1.
Kemenangan itu membolehkan
Kuala Lumpur melonjak dari tangga kelima ke tangga ketiga liga dengan 18 mata
untuk memintas PKNS dan Kelantan.
Ini selepas perlawanan PKNS dan
Kelantan di Stadium Petaling Jaya tidak dapat dilangsungkan dan terpaksa
ditunda akibat padang ditakungi air.
Dalam satu lagi perlawanan di
Stadium Darulmakmur Kuantan, Shahzan Muda menang tipis 1-0 ke atas KL Plus.
Bagaimanapun Shahzan Muda perlu
berterima kasih kepada pemain KL Plus, Iskandar Zulkernain Abu Kassim yang
menjaringkan gol sendiri pada minit ke-44.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tWfIXsDI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan