Jumaat, 29 September 2017

Tuah buat Sabah, Terengganu



 
ARKIB : 27/05/2007
PENJAGA gol Kedah, Abdul Hadi Hamid (tiga dari kiri) menolak bola sambil diasak oleh pemain Perak, R. Surendren dalam saingan Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium Perak, malam tadi. – Gambar HANAFI KHAMIS.

KUALA LUMPUR – Terengganu dan Sabah bernasib baik apabila melayakkan diri ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia walaupun masing-masing tewas dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, semalam.

Kedua-dua pasukan itu mara berdasarkan kedudukan terbaik di tangga ketiga Kumpulan B dan C.

Kedua-duanya mengiringi Selangor, Perlis dari Kumpulan A manakala Negeri Sembilan, Melaka dari Kumpulan B serta Kedah, Perak dalam Kumpulan C.

Masing-masing muncul juara dan naib juara kumpulan untuk layak secara automatik ke suku akhir.

Dalam Kumpulan A, Perlis yang hampir tersingkir mampu mengukir senyum mara ke suku akhir selepas membelasah Johor FC 4-1 dalam perlawanan terakhir di Stadium Jcorp, Pasir Gudang, semalam.

Kemaraan Perlis turut dibantu oleh kekalahan saingan terdekat, TMFC yang tewas 2-3 kepada Selangor.

Perlis muncul naib juara di belakang pendahulu Selangor mengutip 14 mata, satu mata mengatasi TMFC yang kekal dengan 13 mata.

Gol-gol Perlis dijaringkan oleh Zachariah Simukonda (m-62, m-65), Philimon Chepita (m-69) dan Faizal Esahar (m-75) manakala gol sagu hati Johor FC dijaringkan oleh Azizan Baba (m-66)

Di Stadium MBPJ, Telekom Melaka (TMFC) kecewa apabila hajat ke suku akhir tersekat selepas tunduk 3-2 kepada Selangor.

TMFC yang memerlukan kemenangan bagi mengesahkan kemaraan mereka tidak berupaya mengatasi Selangor dan akur dengan kekalahan itu.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, tuan rumah sekadar seri 1-1 bertemu Johor Pasir Gudang.

Keputusan itu tidak memberi sebarang makna buat kedua-dua pasukan yang sudah tersisih ke suku akhir.

Dalam Kumpulan B, Melaka turut layak ke suku akhir selepas mengejutkan Terengganu menerusi kemenangan 2-0 di Stadium Hang Jebat.

Terengganu yang tewas, bagaimanapun turut layak ke suku akhir berdasarkan kedudukan terbaik di tempat ketiga antara Kumpulan A atau C.

Terengganu yang tewas mengutip 17 mata berbanding TMFC menduduki tangga ketiga Kumpulan A dengan 13 mata.

Kemenangan buat Melaka mengesahkan tempat ke suku akhir mengiringi Negeri Sembilan Naza yang lebih awal telah mengesahkan kemaraan sebelum ini.

Gol pertama tuan rumah dijaringkan oleh Faderin Kadir pada minit ketiga sebelum Mirsad Amir mengukuhkan kedudukan dengan jaringan kedua pada minit ke-68.

Di Stadium Shah Alam, Negeri Sembilan Naza mengesahkan kedudukan selaku pendahulu untuk layak ke suku akhir selepas menewaskan ATM 4-2.

Di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, Kelantan menewaskan Pulau Pinang 4-2.

Kumpulan C pula menyaksikan Perak mengesahkan kemaraan selepas menewaskan Kedah 2-1 di Stadium Perak.

Kemenangan sudah dijangkakan buat Perak selepas Kedah yang lebih awal layak selaku pendahulu menurunkan barisan kedua dalam kesebelasan utama.

Begitupun, Perak yang turun dengan barisan paling ampuh dengan matlamat mesti menang terpaksa menunggu hingga minit ke-60 sebelum memperoleh gol kemenangan.

Hasil hantaran pendek Muhamad Khalid Jamlus tepat ke arah Traore Abdoulaye, penyerang berasal dari Burkina Faso itu terus melepaskan rembatan kencang gagal diselamatkan penjaga gol Kedah, Abdul Hadi Hamid.

Keita Mandjou menambah gol kedua skuad Seladang menerusi jaringannya pada minit ke-79 dan gol sagu hati pelawat dijaringkan oleh Mohd. Bunyamin Omar pada minit 86.

Di Stadium MPS Selayang, Sabah yang menewaskan PDRM 4-0 layak ke suku akhir berdasarkan kedudukan terbaik tangga ketiga sama ada dalam Kumpulan B atau C.

Sabah mengutip 18 mata mempunyai kedudukan lebih baik berbanding tempat ketiga Kumpulan C, Terengganu yang tunduk 0-2 kepada Melaka sekadar mengutip 17 mata.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u7cvnYaU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 23 September 2017

Sabah kejutkan UPBMyTeam lagi



ARKIB : 18/04/2007
 
PENJAGA gol Sabah, Rosdin Wasli (kanan) cekap menangkap bola rembatan pemain UPBMyTeam, Dejan Miljanic (dua dari kiri) dalam saingan bola sepak Liga Perdana di Stadium Shah Alam, malam tadi. Sabah menang 2-1. – Gambar ASWAD YAHYA.

KUALA LUMPUR – Sabah membuktikan kemenangan 3-1 ke atas UPBMyTeam di tempat sendiri pada perlawanan pusingan pertama, 30 Mac lalu bukan kerana nasib apabila menang lagi ke atas pendahulu Liga Perdana itu di tempat lawan pula, semalam.

Pada perlawanan pusingan kedua di Stadium Shah Alam yang menjadi gelanggang keramat UPBMyTeam, Sabah kali ini menang tipis 2-1.

Dengan kejayaan itu, Sabah menjadi satu-satunya pasukan yang tidak dapat dikalahkan UPBMyTeam musim ini dalam saingan liga perdana setakat ini.

Pasukan tuan rumah yang diuruskan Khairy Jamaluddin itu lebih dulu dikejutkan dengan gol pendahuluan Sabah menerusi Mohd. Radzi Hussein pada minit ke-23.

Bagaimanapun UPBMyTeam menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Marin Mikac pada minit ke-63.

Ketika perlawanan seakan berkesudahan dengan keputusan seri, pemain import Sabah, Ijiebor Prince muncul wira pasukannya apabila menjaringkan gol kemenangan dalam masa kecederaan.

Kekalahan UPBMyTeam itu bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukannya sebagai pendahulu Liga Perdana walaupun pencabar terdekat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menang 2-1 ke atas Johor Pasir Gudang di Stadium Selayang, semalam.

UPBMyTeam kini memungut 24 mata daripada 12 perlawanan manakala PDRM mengumpul 22 mata tetapi daripada 10 perlawanan.

Ini bermakna PDRM yang kurang dua perlawanan berpeluang memintas UPBMyTeam jika terus mencatat kemenangan selepas ini.

Dalam perlawanan di Stadium KLFA, Cheras, tuan rumah, Kuala Lumpur menewaskan Kuala Muda Naza 3-1.

Kemenangan itu membolehkan Kuala Lumpur melonjak dari tangga kelima ke tangga ketiga liga dengan 18 mata untuk memintas PKNS dan Kelantan.

Ini selepas perlawanan PKNS dan Kelantan di Stadium Petaling Jaya tidak dapat dilangsungkan dan terpaksa ditunda akibat padang ditakungi air.

Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Darulmakmur Kuantan, Shahzan Muda menang tipis 1-0 ke atas KL Plus.

Bagaimanapun Shahzan Muda perlu berterima kasih kepada pemain KL Plus, Iskandar Zulkernain Abu Kassim yang menjaringkan gol sendiri pada minit ke-44.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tWfIXsDI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 22 September 2017

Sabah lebur rekod tanpa kalah UPBMyTeam



ARKIB : 31/03/2007

KUALA LUMPUR – Pasukan di tangga kedua tercorot Liga Perdana, Sabah meleburkan rekod tanpa kalah UPBMyTeam musim ini apabila mencipta kemenangan 3-1 dalam perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Kekalahan mengejut pendahulu Liga Perdana itu kepada Sabah bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan UPBMyTeam di puncak liga tetapi kini diekori rapat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tangga kedua yang bermain kurang satu perlawanan.

Bagi Sabah pula, mereka berjaya memperbaiki kedudukan dengan melonjakkan diri dalam kelompok pertengahan liga.

Pemain import, Charles Obi (m-49, 86) menyumbang dua gol buat Sabah dan satu lagi menerusi Chow Chee Weng (m-45) manakala UPBMyTeam bernasib baik dibantu jaringan sendiri pemain tuan rumah, Prince Eboagwu Etuew (m-54) untuk gol saguhati.

PDRM pula bijak mengambil kesempatan daripada kekalahan UPBMyTeam itu untuk mengurang jurang perbezaan kepada satu mata selepas menewaskan Johor Pasir Gudang 4-3 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus Larkin.

Gol PDRM dijaringkan B. Rajinikandh (m-51), Bernard Muwalala (m-67, 84) dan John Mawalwa (m-88) manakala gol Johor Pasir Gudang disumbang Douglas Santos (m-38) dan Aiya Juyoni Imola (m-46, 71).

Dalam perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Star, tuan rumah, Kuala Muda Naza tumpas 1-2 kepada Kuala Lumpur.

Pasukan pelawat memperolehi gol menerusi Jorge Armando (m-7) dan Lamei Kevin Andre (m-85 manakala gol Kuala Muda dijaringkan Mohd. Shahalrizam Mat Rani (m-41).

Kelantan pula diikat 1-1 oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS ) dalam perlawanan di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV Kota Bharu.

Tuan rumah lebih dulu membuka jaringan menerusi Khairan Eroza Razali (m-65) sebelum PKNS menyamakan kedudukan menerusi Sapian Wahid (m-87).

Di Stadium KLFA, Cheras pula, KL Plus hanya mencatat keputusan seri 3-3 dengan Shahzan Muda untuk terus menghuni tempat tercorot liga.

Manakala bagi Shahzan Muda, mereka kekal di tangga keempat liga di belakang UPBMyTeam, PDRM dan PKNS.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tQNBVk3i
© Utusan Melayu (M) Bhd