ARKIB : 20/07/2006
TONGGAK Kedah, Roberto De Silva
(kiri) dihalang oleh pemain Pulau Pinang, Mohd. Saiful Mohammad dalam saingan
Kumpulan B perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Star, malam
tadi.
KUALA LUMPUR - Rekod tanpa
kalah milik Terengganu tercalar apabila Sabah bangkit untuk mencipta kemenangan
pertama di Stadium Likas, malam tadi.
Gol tunggal jaringan Daddy
Oluche pada minit ke-84 menjadi jarak pemisah kepada Sabah memadamkan rekod
tanpa kalah Terengganu dalam tiga perlawanan.
Kekalahan itu tidak mengubah
kedudukan Terengganu yang masih menerajui Kumpulan A dengan sembilan mata.
Kemenangan pertama buat Sabah
selepas tewas dalam tiga perlawanan tersebut kembali membuka persaingan dalam
kumpulan ini.
Sementara itu, Cristian
Bekamenga menjadi penyelamat apabila jaringannya pada minit ke-77 membantu NS
Naza mengikat Selangor dengan keputusan seri 2-2 di Stadium Nasional Bukit
Jalil.
Selangor jelas hampa ketika
mendahului 2-1 pada satu ketika dengan peluang meraih kemenangan kedua tetapi
Bekamenga menjadi pemusnah.
NS Naza membuka jaringan pada
minit kesembilan menerusi Che Hishamuddin Hassan sebelum bekas pemain Real
Madrid, Perica Ognjenovic menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-16 dan disusuli
gol kedua hasil jaringan Muhammad Shukor Adan pada minit ke-24.
Dalam Kumpulan B, Telekom
Melaka mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu apabila menewaskan Johor FC 2-1
di Stadium Larkin.
Telekom kini memungut sembilan
mata memperoleh gol menerusi pemain import dari Indonesia, Ponaroyo Astaman
pada minit ke-36 dan gol kedua hasil jaringan Zainuddin Ariffin di minit ke-76.
Gol sagu hati Johor FC
dijaringkan oleh Kim Dong Hwan pada minit ke-90.
Tuan rumah Kedah pula terus
gagal meraih kemenangan apabila sekadar terikat 1-1 bertemu Pulau Pinang
E&O di Stadium Darul Aman.
Pelawat mengejutkan tuan rumah
dengan gol seawal minit ketiga jaringan Ng Kok Heng bagaimanapun lapan minit
selepas itu Kedah mengikat kedudukan hasil jaringan Marcos Magno.
Dalam Kumpulan C, Perlis
mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu apabila menewaskan Pahang 1-0 di Stadium
Utama, Kangar.
Gol tunggal jaringan Zachariah
Simukonda pada minit ke-25 kian mengesahkan kemaraan skuad Singa Utara ke suku
akhir.
Gol kemenangan dihasilkan
menerusi hantaran ketua pasukan, Manzoor Azwira di luar kotak penalti sebelum
Simukonda merembat kencang menggegar jaring.
Sarawak turut mencerahkan
laluan ke suku akhir apabila mudah menewaskan PKNS 2-0 di Stadium Sarawak.
Kemenangan itu memastikan skuad
bimbingan Jalil Rambli memungut sembilan mata di belakang pendahulu Perlis.
Gol-gol tuan rumah dijaringkan
oleh Divine Chibuike (m-37) dan Sanjos Sundawat (m-63).
Dalam Kumpulan D, pendahulu
Perak meneruskan aksi cemerlang apabila mudah menewaskan Brunei 2-1 di Stadium
Perak.
Tuan rumah membuka jaringan
pada minit ke-23 menerusi tolakan mudah R. Surendren tetapi Brunei menyamakan
kedudukan 1-1 menerusi sepakan penalti Rodrigo Lombardo lima minit selepas itu.
Gol kemenangan Perak
disumbangkan oleh Daniel Fadzli pada minit ke-54.
Di Stadium Petaling Jaya, MPPJ
mengalami kekalahan kedua berturut-turut apabila tewas 1-0 kepada Melaka.
Buat Melaka, ini adalah
kemenangan pertama mereka selepas tewas dalam tiga perlawanan sebelum ini. Gol
kemenangan Melaka dijaringkan oleh Mohd. Nor Derus pada minit ke-29.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4lJ99ORbP
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan