Rabu, 14 September 2016

Kelebihan banyak memihak pada Sabah

ARKIB : 15/08/1998
SABAH mempunyai kelebihan untuk memastikan kejayaan, namun Johor yang hadir sebagai pasukan pelawat pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Likas, malam ini pasti menjanjikan saingan sengit.

Sabah yang pernah muncul juara Piala FA pada tahun 1995 dengan menumpaskan Pahang 3-1, ternyata lebih berpengalaman berbanding Johor yang pertama kali beraksi pada perlawanan akhir Piala FA ini.

Ini merupakan kali keempat Sabah beraksi pada perlawanan akhir. Mereka kecundang kepada Kuala Lumpur pada perlawanan akhir 1993 dan 1994.

Soalnya, mampukah Sabah mengikut jejak langkah Kuala Lumpur menjulang Piala FA sebanyak dua kali dan bolehkah, Johor menjadi pasukan keenam dinobatkan selaku juara selepas Selangor, Perak, Kedah, Kuala Lumpur dan Sabah.

Jurulatih Sabah, Ken Shellito sudah pasti menggunakan kesempatan yang ada untuk mencatatkan kemenangan di tempat sendiri.

Andainya ini menjadi kenyataan, Sabah pastinya lebih bersemangat untuk memburu juara berganda - Piala Malaysia 1998.

Ini merupakan kali pertama Sabah dan Johor bertemu selepas Johor turun ke Perdana Dua.

Johor turut memburu juara kerana ini merupakan pertama kali mereka layak ke perlawanan akhir Piala FA.

Johor yang tidak melayakkan diri ke Piala Malaysia selepas tercicir pada perlawanan play off menentang Kuala Lumpur dengan keputusan agregat 1-2, pasti menjadikan perlawanan malam ini begitu penting.

Tugas yang begitu penting, pastinya dari jurulatih, Steve Darby dalam usaha memulihkan semangat pemain.

Sabah yang dibarisi pemain taruhan, David Rocastle pasti dilihat lebih bertenaga apabila digandingkan dengan Yap Wai Loon dan Abdullah Awang Adi, pasti menggugat barisan pertahanan Johor.

Selain itu, Khairul Azman Mohamad yang disandarkan sebagai penyelamat gawang akan dibantu pemain pertahanan, Vecelin Kovacevic.

Jika Sabah kental dengan jentera penggempur Rocastle dan Yap, maka Johor turut gah di bahagian sama dengan menurunkan bekas pemain negara, Rizal Sukiman, Idris Karim dan pemain import Milan Blagojevic.

Walaupun Sabah, mampu menyerang, Johor mempunyai sebab kukuh untuk bertahan dengan kelicikan Darren Stewart, selain dibantu Azmil Azali.

Oleh: DAUD GHANI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4KFOQk75A © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 13 September 2016

Sabah-Johor ke final

ARKIB : 05/08/1998
SABAH dan Johor akan menentukan juara bola sepak Piala FA pada 15 Ogos ini selepas masing-masing mencatat kemenangan pada perlawanan separuh akhir kedua, malam tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah mempamerkan satu daripada permainan terbaiknya musim ini apabila membelasah Kedah 5-1.

Dengan kemenangan itu, Sabah yang pernah menjadi juara 1995 mara ke perlawanan akhir menerusi agregat 5-2.

Pada pertemuan pertama minggu lalu, Sabah tewas 0-1 kepada Kedah.

Johor pula menewaskan Kuala Lumpur 2-1 dalam satu lagi perlawanan di Johor Bahru.

Gol-gol Sabah dijaringkan Veselin Kovacevic melalui sepakan penalti pada minit ke-23 diikuti gol David Rocastle (61), Mohd Jaya Kasim (65, 75) dan Suharmin Yusof pada minit ke-78.

Gol tunggal Kedah dijaringkan pemain import Andre Luis Nascimento pada minit ke-52 melalui sepakan penalti.

Sabah yang kelihatan bersungguh-sungguh untuk menaikkan semula nama mereka dalam arena bola sepak tempatan selepas persembahan kurang bermaya di peringkat Liga Perdana, memulakan asakan sebaik sahaja permainan bermula dan menguasai sebahagian besar permainan malam ini.

Sabah mendapat peluang seawal minit keempat melalui hantaran lintang Jainin Tinin, tetapi Yap Wai Loon yang mendapat bola di hadapan gol gagal menewaskan S. Ragesh.

Sabah sekali lagi mendapat peluang lapan minit kemudian tetapi Mohd Jaya Kassim, yang mendapat hantaran lintang daripada Jainin, juga gagal menewaskan penjaga gol Kedah.

Sabah akhirnya mendapat gol yang dicari-cari pada minit ke-23 melalui sepakan penalti Kovacevic apabila Jaya dikasari, sekali gus menyamakan agregat 1-1.

Separuh masa kedua menyaksikan serangan Kedah lebih tersusun dan berhasil mendapatkan gol melalui sepakan penalti Nascimento selepas Nidzam Adzha dikasari di dalam kotak penalti pada minit ke-52.

Kedah terpaksa bermain 10 orang selepas Roslan Abdul Rahim diperintah keluar padang pada minit ke-60 dan ini memberi ruang kepada Sabah untuk bergerak lebih selesa ketika melancarkan serangan.

Gol kedua Sabah muncul pada minit ke-61 melalui sepakan penalti apabila David Rocastle dikasari. Sepakan yang diambil Kovacevic melantun daripada dakapan S. Ragesh dan terus disambar Rocastle.

Jaya muncul wira Sabah apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh 10 minit hasil serangan pantas yang dilakukan Sabah sebelum Suharmin Yusof melengkapkan kemenangan Sabah dengan gol pada minit ke-78. - Bernama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4KD4uzzmb © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 10 September 2016

Gol Madzalan kecewakan Sarawak

ARKIB : 26/05/1998
Gol Madzalan kecewakan Sarawak
SABAH mencatatkan kemenangan di tempat sendiri, 1-0 dengan menewaskan 'jiran' Sarawak pada perlawanan Perdana Satu, di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi, lapor WAN NORAZAH WAN CHIK.

Sabah memperoleh gol kemenangan menerusi Madzalan Emoi pada minit ke-77 selepas melakukan beberapa asakan di kubu pertahanan Sarawak.

Sarawak yang banyak bermain dalam keadaan tertekan dan bertahan gagal melakukan penyudah yang berkesan sehinggalah pada minit terakhir, mereka melakukan cubaan terbaik menerusi Ramli Sari.

Bagaimanapun bola sepakan padu pemain itu terkena palang dan melantu keluar, yang sekali gus menyaksikan peluang untuk mengutip satu mata berkecai untuk Sarawak.

Sabah yang mengutip tiga mata pada perlawanan itu, terpaksa menyaksikan kad kuning diterima mereka selepas pengadil memberikan kepada Harun Laban.

Namun begitu permainan Sabah yang agak bersahaja pada babak pertama, bertukar menjadi lebih agresif di separuh masa kedua sebaik sahaja Jainin Tinin menggantikan ketua pasukan Jelius Ating.

Kemenangan Sabah itu memberikan sedikit harapan untuk terus memperbaiki kedudukan pada senarai liga Perdana Satu ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4JrhoVsxU © Utusan Melayu (M) Bhd