Rabu, 28 Jun 2017

Sabah calar rekod Terengganu



ARKIB : 20/07/2006

TONGGAK Kedah, Roberto De Silva (kiri) dihalang oleh pemain Pulau Pinang, Mohd. Saiful Mohammad dalam saingan Kumpulan B perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Star, malam tadi.

KUALA LUMPUR - Rekod tanpa kalah milik Terengganu tercalar apabila Sabah bangkit untuk mencipta kemenangan pertama di Stadium Likas, malam tadi.

Gol tunggal jaringan Daddy Oluche pada minit ke-84 menjadi jarak pemisah kepada Sabah memadamkan rekod tanpa kalah Terengganu dalam tiga perlawanan.

Kekalahan itu tidak mengubah kedudukan Terengganu yang masih menerajui Kumpulan A dengan sembilan mata.

Kemenangan pertama buat Sabah selepas tewas dalam tiga perlawanan tersebut kembali membuka persaingan dalam kumpulan ini.

Sementara itu, Cristian Bekamenga menjadi penyelamat apabila jaringannya pada minit ke-77 membantu NS Naza mengikat Selangor dengan keputusan seri 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selangor jelas hampa ketika mendahului 2-1 pada satu ketika dengan peluang meraih kemenangan kedua tetapi Bekamenga menjadi pemusnah.

NS Naza membuka jaringan pada minit kesembilan menerusi Che Hishamuddin Hassan sebelum bekas pemain Real Madrid, Perica Ognjenovic menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-16 dan disusuli gol kedua hasil jaringan Muhammad Shukor Adan pada minit ke-24.

Dalam Kumpulan B, Telekom Melaka mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu apabila menewaskan Johor FC 2-1 di Stadium Larkin.

Telekom kini memungut sembilan mata memperoleh gol menerusi pemain import dari Indonesia, Ponaroyo Astaman pada minit ke-36 dan gol kedua hasil jaringan Zainuddin Ariffin di minit ke-76.

Gol sagu hati Johor FC dijaringkan oleh Kim Dong Hwan pada minit ke-90.

Tuan rumah Kedah pula terus gagal meraih kemenangan apabila sekadar terikat 1-1 bertemu Pulau Pinang E&O di Stadium Darul Aman.

Pelawat mengejutkan tuan rumah dengan gol seawal minit ketiga jaringan Ng Kok Heng bagaimanapun lapan minit selepas itu Kedah mengikat kedudukan hasil jaringan Marcos Magno.

Dalam Kumpulan C, Perlis mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu apabila menewaskan Pahang 1-0 di Stadium Utama, Kangar.

Gol tunggal jaringan Zachariah Simukonda pada minit ke-25 kian mengesahkan kemaraan skuad Singa Utara ke suku akhir.

Gol kemenangan dihasilkan menerusi hantaran ketua pasukan, Manzoor Azwira di luar kotak penalti sebelum Simukonda merembat kencang menggegar jaring.

Sarawak turut mencerahkan laluan ke suku akhir apabila mudah menewaskan PKNS 2-0 di Stadium Sarawak.

Kemenangan itu memastikan skuad bimbingan Jalil Rambli memungut sembilan mata di belakang pendahulu Perlis.

Gol-gol tuan rumah dijaringkan oleh Divine Chibuike (m-37) dan Sanjos Sundawat (m-63).

Dalam Kumpulan D, pendahulu Perak meneruskan aksi cemerlang apabila mudah menewaskan Brunei 2-1 di Stadium Perak.

Tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-23 menerusi tolakan mudah R. Surendren tetapi Brunei menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan penalti Rodrigo Lombardo lima minit selepas itu.

Gol kemenangan Perak disumbangkan oleh Daniel Fadzli pada minit ke-54.

Di Stadium Petaling Jaya, MPPJ mengalami kekalahan kedua berturut-turut apabila tewas 1-0 kepada Melaka.

Buat Melaka, ini adalah kemenangan pertama mereka selepas tewas dalam tiga perlawanan sebelum ini. Gol kemenangan Melaka dijaringkan oleh Mohd. Nor Derus pada minit ke-29.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4lJ99ORbP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 2 Jun 2017

Selamat Tinggal : 5 pemain Sabah



ARKIB : 24/08/2005

Oleh Halimah Julkip
MURAM... Mohd. Arsyah Ayob, seorang daripada lima pemain Sabah yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan salah laku dan disiplin, ditamatkan kontrak serta merta selepas mengadap Lembaga Disiplin SAFA di Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU - Disiplin Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) semalam memutuskan menamatkan kontrak lima pemain Sabah yang di `tangkap' di sebuah pusat hiburan di sini, minggu lalu.

Selain itu, Lembaga Disiplin juga mengenakan pergantungan bermain terhadap lima pemain terbabit dalam mana-mana perlawanan selama setahun.

Kelima-lima mereka, Mohd Arsyah Ayob, Mohd Rizal Hassan, Mior Mohd Nasir, K Nanthakumar dan Mohd Zalmie Jamlus ditamatkan kontrak serta merta selepas gagal memberi alasan kukuh atas kesalahan yang dilakukan.

Mereka dipanggil untuk memberi keterangan dan tunjuk sebab di hadapan Lembaga Disiplin pada mesyuarat SAFA yang diadakan pejabat SAFA di Kota Kinabalu, petang semalam.

Keputusan mengenai hukuman itu diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin SAFA yang juga merangkap Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Senior Asisten Komisioner I, Mohd. Bakri Zinin sebaik sahaja mesyuarat itu selesai.

Menurut Bakri, hasil soal jawab dan siasatan sepanjang sesi representasi itu, kelima-lima pemain berkenaan didapati bersalah atas tiga pertuduhan salah laku dan disiplin.

Katanya, pertuduhan pertama mereka ialah berada di sebuah pusat hiburan di Jalan Lintas, Kota Kinabalu pada pukul 3 pagi, 19 Ogos lalu - iaitu pada hari yang sama sebelum mereka sepatutnya bertolak ke Kangar untuk perlawanan Liga Malaysia menentang Perlis.

Kelima-lima mereka menghadapi pertuduhan kedua iaitu gagal menjaga kepentingan pasukan dan perlawanan menentang Perlis di mana mereka sepatutnya dikehendaki berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada pukul 6 pagi 19 Ogos lalu, sejam sebelum penerbangan.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, kelima-lima mereka disahkan mengambil alkohol melalui ujian pernafasan yang dibuat oleh polis trafik pada pukul 4 pagi, 19 Ogos lalu.

``Mesyuarat Lembaga Disiplin hari ini telah memanggil seorang demi seorang pemain terbabit dan kesemua mereka didapati memberi keterangan yang bercanggah,'' kata Bakri.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin SAFA, Iskandar Malik dan tiga ahli jawatankuasa lain.

Bagaimanapun, menurut Bakri, kelima-lima pemain terbabit diberi peluang membuat rayuan dalam tempoh tujuh hari selepas hukuman dikenakan dan keputusan terakhir akan ditentukan sendiri oleh Presiden Sabah FA, Datuk Anifah Aman. Beliau berkata, pihaknya akan menghantar satu laporan lengkap kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menjelaskan pengguguran kelima-lima pemain itu.

Tambah beliau, ini kerana beberapa orang dari pemain terbabit turut bermain dalam skuad kebangsaan.

``Kita harap hukuman yang dijatuhkan menjadi ikhtibar kepada mereka dan pemain-pemain lain, ini menunjukkan SAFA tidak akan teragak-agak menggugurkan mana-mana pemain yang tidak berdisiplin,'' jelasnya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4itDzWtKr
© Utusan Melayu (M) Bhd