Jumaat, 11 November 2016

Khairul hampir pasti terus dengan Sabah

ARKIB : 06/01/1999
BEKAS penjaga gol kebangsaan, Khairul Azman Mohamad hampir pasti akan terus beraksi untuk Sabah musim ini walaupun beberapa pasukan lain cuba melamarnya, lapor HARON SHAFEI.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA), Datuk Anifah Aman berkata, walaupun Khairul kini sudah tidak mempunyai ikatan kontrak dengan Sabah FA, pemain itu telah menyatakan kesediaannya untuk terus beraksi bersama pasukan Sabah musim ini.

''Selepas persaingan Piala Malaysia tamat musim lalu (1998) Khairul sendiri telah bercakap dengan saya bahawa dia ingin terus berkhidmat dengan Sabah musim ini,'' katanya.

Anifah berkata, belum ada ikatan kontrak baru dengan Khairul dilakukan setakat ini kerana Sabah FA masih menunggu ketetapan muktamad Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap format pertandingan musim ini.

Sabah FA dijangka hanya akan membuat ikatan kontrak dengan Khairul selepas mengetahui ketetapan format pertandingan tahun ini yang dijangka akan diketahui minggu depan.

Johor dan Brunei adalah antara pasukan yang dilaporkan oleh beberapa akhbar kebangsaan dan tempatan berminat mendapatkan khidmat bekas penjaga gol kebangsaan yang tekah menabur bakti dengan Sabah sejak 1994.

Adalah dijangkakan bahawa tidak ada perubahan besar dilakukan dalam skuad Sabah musim ini kerana selain Khairul pemain lain masih mempunyai ikatan kontrak dengan Sabah FA.

Bagaimanapun, gambaran jelas mengenai persiapan Sabah hanya diketahui selepas ia dibincangkan dalam mesyuarat Sabah FA yang dijangka diadakan selepas Hari Raya Puasa nanti.

''Kita akan membincangkan semua aspek aspek dalam mesyuarat Sabah FA selepas Hari Raya ini termasuklah dari segi pembentukan pasukan, jurulatih dan pengurusan,'' katanya.

Mengenai kedudukan jurulatih, beliau berkata, pada dasarnya Sabah FA masih mahu dan sudah bersetuju dengan permohonan Ken Shellito melanjutkan khidmat membimbing pasukan Sabah.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PhVfdLz2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 7 November 2016

Sabah gagah, Penyu tak gelabah

ARKIB : 18/11/1998
SABAH tentu mempunyai banyak kelebihan beraksi dengan baik ketika melayani Terengganu di depan penonton sendiri pada separuh akhir pertama bola sepak Piala Malaysia, Sabtu ini.

Namun ia tidak sekali-kali menjejaskan semangat skuad penyu meskipun mereka yang terpaksa menyeberangi Laut China Selatan untuk memburu impian beraksi pada perlawanan akhir di Bukit Jalil, nanti.

Skuad Penyu yang akan menurunkan kesemua pemain utama kecuali Sapian Wahid yang masih cedera, pasti akan menggegarkan Stadium Likas untuk memenuhi matlamat kedua mereka - menempah tempat ke perlawanan akhir sesudah impian pertama mereka dipenuhi.

Apa yang penting, beberapa kelemahan lalu sehingga memaksa pasukan bimbingan jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim itu menerima padah kesan kekalahan perlu diperbaiki segera.

Kelemahan itu jelas ketara sewaktu perlawanan terakhir kumpulan apabila Terengganu tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan di gelanggang sendiri.

Suntikan semangat baru yang menjadi, terutama kejayaan Terengganu memasuki peringkat separuh akhir Piala Malaysia sudah tentu menyaksikan corak aksi menarik dan permainan yang lebih tersusun.

Luka lama berikutan kekalahan di tangan Negeri Sembilan di Kuala Terengganu tempoh hari harus dilupakan sebaliknya menganggapnya sebagai pengajaran untuk kebangkitan semangat juang baru yang lebih bersungguh-sungguh.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, beliau setakat ini berpuas hati dengan perkembangan kesebelasan utama skuad Terengganu menjelang pertarungan pertama separuh akhir Sabtu ini.

Menurutnya, para pemain ketika ini berada pada tahap kecergasan yang memuaskan dan mereka sedang giat menjalani latihan bagi menghadapi Sabah di Kota Kinabalu.

''Saya masih mengadakan perbincangan demi perbincangan dengan jurulatih untuk memperkemaskan lagi pasukan.

''Sementara susunan para pemain setakat ini belum lagi diputuskan dan ia mungkin dibuat beberapa hari terakhir menjelang perlawanan,'' katanya di Kuala Terengganu semalam.

Che Mat ketika mengulangi pengesahannya berkata, Azman Ismail, Wan Ahmad Ridzuan dan penjaga gol Zubir Ibrahim akan turut memikul tanggungjawab memastikan keputusan perlawanan menggembirakan Terengganu.

Oleh: RADHUAN HUSSAIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PKNttFvq © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 6 November 2016

Sabah layak ke separuh akhir

ARKIB : 08/11/1998
JARINGAN hat trick pemain import, Saphou Lassy memastikan Sabah mara ke separuh akhir bola sepak Piala Malaysia selepas berpesta gol dengan menewaskan saingan terdekat Brunei 6-0 dalam perlawanan kumpulan B di Stadium Likas, semalam.

Naib juara Piala FA musim ini itu menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri dengan kecemerlangan pemain dari Gabon meledakkan jaringan hat trick pada minit ke-22, 53, 70.

Henry Soimpon turut meletakkan namanya dalam senarai penjaring apabila menyumbat masuk gol ketiga pada minit ke-41 sebelum kesilapan pertahanan Brunei, Liew Chuan Fue menyumbat masuk ke gawang sendiri untuk gol kelima pada minit ke-82 dan jaringan terakhir Suharmin Yusof pada minit ke-90.

Kejayaan ini menebus kembali kegagalan Sabah musim lalu yang gagal menempatkan diri ke separuh akhir.

Buat Brunei peluang mereka untuk ke separuh akhir masih ada dan hanya perlawanan terakhir menentang Perak di gelanggang sendiri Sabtu ini memerlukan keputusan menang bagi mengikut jejak langkah Sabah.

Kemenangan ini memastikan Sabah memungut 16 mata manakala Brunei masih kekal dengan 11 mata. Sabah sudahpun menamatkan saingan di peringkat kumpulan.

Kecemerlangan Lassy jelas menjadi tarikan menolak masuk gol pertama pada minit ke-22.

Brunei yang tertekan dengan gol awal itu cuba mengatur gerakan namun Lassy sekali lagi menggamatkan Stadium Likas dengan gol peribadi keduanya pada minit ke-53.

Dua gol itu menyemarakkan anak buah Ken Shelito yang terus memperkukuhkan kedudukan menerusi sepakan kencang Henry pada minit ke-41.

Begitupun Sabah memperoleh sepakan penalti namun Lassy gagal menyempurnakan sepakan itu.

Bagaimanapun dia menebus kembali kegagalan itu apabila meledakkan jaringan hat trick menutup terus kehebatan Brunei dalam usaha mencari kemenangan.

Sabah terus mengasak pada minit terakhir sehingga Brunei tertekan dan melepaskan dua lagi gol dalam tempoh 10 minit terakhir menerusi kesilapan Chuan Fue pada minit ke-82 dan jaringan Suharmin minit ke-90.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PDadcSTZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 1 November 2016

Sabah ganyang Pahang

ARKIB : 07/10/1998
SABAH menang bergaya apabila menewaskan Pahang 4-1 pada perlawanan kumpulan B bola sepak Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam, lapor HARON SHAFEI.

Gol pertama Sabah diperoleh pada minit ke-23 separuh masa pertama hasil sepakan pemain importnya, Veselin Kovasevic yang menerima hantaran cantik Yap Wai Loon di luar kawasan petak penalti.

Gol kedua Sabah diperoleh melalui pemain import Sabah, Saphou Lassy pada minit ke-30 separuh masa pertama setelah menerima hantaran lintang yang dibuat oleh Mokhtar Dayoh di luar petak penalti.

Sabah menghasilkan gol ketiga menerusi Saphou Lassy hasil hantaran Suharmin di luar kawasan petak penalti pada minit ke-67.

Dalam kerancakan pasukan Sabah mengatur serangan bertubi-tubi ke kubu pasukan Pahang, pemain import Pahang, Melnikov Viatcheslav berjaya mencuri ruang pada minit ke-81 apabila menghukum kelalaian pertahanan Sabah dengan menyepak masuk bola menewaskan penjaga gol, Khairul Azman Mohamad.

Sorakan hampir 6,000 penonton bergema lagi apabila Saphou sekali lagi bertindak cemerlang menyumbat gol keempat Sabah pada minit ke-83.

Saphou yang dijatuhkan oleh pemain import Pahang, Kofi Ampiah dalam petak penalti telah mendapat sepakan percuma. Bagaimanapun sepakannya dapat ditampan penjaga gol Muadzar Mohamad.

Saphou yang tidak membuang masuk terus menyepak bola masuk ke dalam pintu gol Pahang. Kofi yang bertindak kasar ke atas Saphou telah menerima kad kuning dari pengadil.

Pemain-pemain Pahang yang diketuai Azizul Kamaludin telah cuba bangkit membuat serangan bertubi-tubi ke kawasan pertahanan Sabah tetapi serangan mereka berjaya dikekang oleh pemain pertahanan Sabah.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4OlG2RGeA © Utusan Melayu (M) Bhd