Jumaat, 23 April 2021

Bobby sekat hajat Gergasi Merah

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



GAYA Amri (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Bernama

Petaling Jaya: Tandukan pemain gantian Sabah FC, Bobby Gonzales sudah cukup meranapkan impian Selangor FC daripada meraih kemenangan apabila jaringan di hujung saingan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini.

Dalam aksi itu, pelawat terlebih dahulu di depan apabila bekas pemain Merah Kuning, Amri Yahyah meledak gol pada minit ke-31.

Gol itu terhasil menerusi gerakan menarik dari sebelah kiri yang menyaksikan Amri bijak melepasi perangkap ofside sebelum mudah memperdaya pertahanan Selangor, Sharul Nazeem serta penjaga gol, Khairulazhan Khalid.

Jaringan pendahuluan itu nyata melonjakkan semangat anak buah Kurniawan Dwi Yulianto dan Sabah hampir menambah gol kedua namun dua percubaan Saddil Ramdani minit ke-36 dan 45 sedikit tersasar.

Menyedari hanya kemenangan mampu memperbaiki kedudukan Red Giants di persada liga, Karsten Neitzel terpaksa melakukan beberapa perubahan sebaik babak kedua berlangsung.

Nor Hakim Hassan dimasukkan bagi menambah sengat di jentera hadapan dan impaknya cukup menjadi apabila gerakannya pada minit ke-56 berjaya disudahkan Ifedayo untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Ifedayo sekali lagi mempamerkan ketajamannya apabila meledak gol kedua minit ke-72 selepas menerima hantaran seorang lagi pemain gantian, Shahrel Fikri.

Gol itu juga menyaksikan Ifedayo kini merekodkan sembilan gol untuk berkongsi selaku penjaring terbanyak liga bersama penyerang JDT, Bergson da Silva.

Ketika tuan rumah dilihat hampir menggenggam tiga mata, tandukan Bobby berjaya menyekat hajat Selangor untuk kedua-dua pasukan berpuas hati meraih satu mata.

SUMBER-MY METRO ONLINEDisiarkan pada: April 24, 2021 @ 12:14am 

Ahad, 11 April 2021

Tandukan Casagrande selamatkan maruah Penang FC

  | 12 April 2021




Tandukan pada penghujung babak perlawanan penyerang import Anselmo Arruda da Silva menyelamatkan maruah Penang FC di laman sendiri pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Tandukan pada penghujung babak perlawanan penyerang import Anselmo Arruda da Silva menyelamatkan maruah Penang FC di laman sendiri untuk mengikat Sabah FC 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam ini.
Keputusan seri itu membolehkan Penang FC kekal di tangga keempat liga berkongsi 15 mata bersama Terengganu FC di kedudukan ketiga selepas lapan perlawanan.
Pada aksi yang berlangsung sengit itu selepas kedua-dua terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Sabah FC berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-52 menerusi rembatan deras pemain kebangsaan Indonesia Saddil Ramdani dari luar kotak penalti.
Bagaimanapun, Penang FC yang tampil cemerlang dengan merekodkan satu kekalahan setakat ini berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-86 apabila Arruda da Silva atau lebih dikenali Casagrande menanduk sepakan sudut pemain gantian Mohammad Amer Azahar untuk mengikat kedudukan.
Keputusan itu juga menyaksikan Sabah FC hanya dibezakan satu mata daripada pasukan kedua tercorot liga Sri Pahang FC yang mengutip lima mata.
Sementara itu dalam aksi Liga Premier, Johor Darul Ta’zim (JDT) II naik ke kedudukan kedua liga meskipun mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Selangor FC 2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Pada masa sama, gol sendiri Amirul Ashraf Ariffin dua minit selepas jaringan pembukaan Adib Abdul Ra’op menyaksikan Perak FC II terlepas peluang mencatat kemenangan ketiga musim ini apabila terikat 1-1 berdepan PDRM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. - Bernama
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/133131/BERITA/Sukan/Tandukan-Casagrande-selamatkan-maruah-Penang-FC© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Sabtu, 10 April 2021

Dua tonggak Sabah diketepikan kerana isu gaji?

Juwan Riduan

am@hmetro.com.my



Rawilson (kanan) dalam salah satu aksi bersama Sabah.

Kota Kinabalu: Dua tonggak Sabah Football Club (FC) dikatakan tidak berada dalam senarai pasukan itu bagi menghadapi Penang FC dalam saingan Liga Super di Pulau Pinang, Ahad ini.

Pemain terbabit ialah pertahanan yang juga ketua pasukan, Rawilson Batuil dan pemain tengah Mohd Azzizan Nordin.

Dua pemain ini dipercayai tidak bersama-sama pasukan yang berlepas ke Pulau Pinang, pagi tadi, dipercayai berikutan isu gaji yang menjadi tular di media sosial sejak semalam.

Sumber dalaman Sabah FC berkata, Rawilson dan Azzizan antara pemain yang bersuara mengenai gaji yang sebelum ini tertunggak dua bulan.

"Memang betul mereka (Rawilson dan Azzizan) ditinggalkan, ia ada kaitan dengan isu gaji tertunggak sebelum ini.

"Mereka juga antara yang bersuara mengenainya (isu gaji) sehingga sesi latihan pasukan dibatalkan semalam," katanya kepada Arena Metro.

Sumber itu turut berkata, gaji pemain yang tertunggak itu dibayar namun baru untuk sebulan.

"Baru sebulan (gaji yang tertunggak) dibayar, sebulan lagi belum masuk," katanya.

Ketiadaan dua pemain itu bersama pemain berpengalaman Maffry Balang dalam senarai Sabah FC ke Pulau Pinang menjadi tular di media sosial hari ini.

Beberapa Facebook kelab penyokong pasukan itu mendakwa tiga pemain terbabit diketepikan pihak pengurusan kerana 'bersuara' mengenai gaji.

Bagaimanapun difahamkan, Maffry tidak dibawa bersama ke Pulau Pinang kerana kecederaan dan tiada kaitan dengan isu gaji yang hangat diperkatakan ketika ini.

Terdahulu semalam, sesi latihan Sabah FC terbatal dipercayai ada kaitan dengan isu gaji pemain yang dikatakan tertunggak dua bulan.

Sumber dalam pasukan berkata, latihan sepatutnya bermula jam 4 petang namun selepas perbincangan hangat di kalangan pemain dan barisan kejurulatihan, sesi berkenaan kemudian dibatalkan.

Bagaimanapun hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Football Club (FC), Khairul Firdaus Akbar dalam satu kenyataan menafikan perkara itu.

Beliau juga menafikan gaji pemain dan pegawai pasukan tertunggak sehingga tiga bulan seperti yang tular di media sosial, semalam.

"Memang diakui berlakunya beberapa kelewatan pembayaran gaji, namun ianya tidak pernah tertunggak lebih dari satu bulan.

"Dakwaan gaji pemain tertunggak sehingga tiga bulan adalah tidak benar sama sekali sehingga tular di laman media sosial malam tadi," katanya.

SUMBER-MY METRO ONLINEDisiarkan pada: April 9, 2021 @ 6:30pm